Sukan Hari Ini

Siapa saja boleh mohon

Rembau: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan dan gabungan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukan individu yang sesuai dilantik sebagai Presiden FAM.

Baginya, siapa saja di kalangan rakyat negara ini yang mempunyai kelayakan boleh menawarkan diri menjawat jawatan tertinggi badan induk bola sepak Malaysia itu.

“Itu (pelantikan Presiden FAM) terpulang kepada ahli gabungan FAM, semua boleh menawarkan diri untuk menjawat jawatan berkenaan termasuk Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Baginda juga mempunyai kelebihan yang sangat banyak untuk menjawat jawatan Presiden FAM, tapi semuanya terpulang kepada ahli gabungan untuk buat keputusan terbaik dan memilih individu sesuai,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Lasak Cabaran Rembau 2016, di Dataran Rembau, semalam.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Undang Luak Rembau Datuk Muhammad Sharif Othman.

Dalam laporan akhbar kelmarin, Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta`zim (Johor DT) membayangkan kesediaan baginda untuk menjawat jawatan berkenaan malah sudah menyimpan hasrat untuk membantu membangunkan bola sepak negara termasuk mengenal pasti jurulatih baharu yang sesuai dan berkelayakan untuk membimbing skuad negara.

“Saya sudah lama ingin membantu skuad kebangsaan tetapi saya tidak boleh lakukan apa-apa sebelum ini kerana pengurusan FAM yang sedia ada,” katanya.

FAM bakal mengadakan pembaharuan dalam mesyuarat yang ditetapkan awal tahun depan termasuk pemilihan jawatan Presiden FAM selepas pemimpin sedia ada, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat untuk tidak mempertahankan kedudukannya.

Sebelum ini, beberapa tokoh politik dan korporat menawarkan diri menjawat jawatan Presiden FAM antaranya termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Air Asia, Tan Sri Tony Fernandes dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.

Khairy mengalu-alukan sebarang keputusan yang dibuat FAM dalam pemilihan itu nanti dan berharap sesi berkenan akan dapat mengembalikan semula reputasi skuad Harimau Malaysia di persada antarabangsa.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");