Sukan Hari Ini

T-Team tempelak rundingan ‘pintu belakang’

MESKIPUN saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini masih belum melabuhkan tirai sepenuhnya, namun isu ‘memancing’ pemain mula menarik perhatian pasukan yang berhasrat untuk memperkemaskan kem masing-masing musim depan, lapor ZUBIR SULAIMAN.

Senario itu turut terpalit dalam kalangan pemain T-Team yang sebelum ini di padang ‘enteng’ tetapi kini mula mencuri tumpuan selepas berjaya melangkah ke saingan separuh akhir Piala Malaysia musim ini, apabila dikatakan hampir separuh tonggak utama skuad kendalian Rahmad Darmawan itu mula ‘diborong’ melalui ‘pintu belakang’.

Situasi itu jelas mengecewakan pihak pengurusan skuad The Titans dan menyifatkan tindakan pasukan negeri dan kelab yang cuba ‘memancing’ pemainnya tanpa menggunakan saluran yang betul dengan mengumpan gaji lumayan.

Difahamkan, antara tonggak utama kem The Titans yang cuba dipikat termasuklah dua pemain kebangsaan, Mohamad Arif Fadzilah Abu Bakar (pertahanan kiri) dan Mohamad Safawi Rasid (tengah), Mohd Asrol Ibrahim (tengah), Muhammad Ilham Amirullah Razali (penjaga gol) serta Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris (pertahanan).

Ketua Pegawai Operasi TTeam, Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, pemain itu adalah tunjang kejayaan pasukan sehingga berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Menurutnya, kesemua pemain itu masih dalam perancangan pasukan untuk mengharungi Liga Super tahun depan, bagaimanapun difahamkan ada pasukan negeri dan kelab yang berminat mendapatkan khidmat mereka, telah melakukan rundingan tanpa pengetahuan pihak pengurusan.

“Malah lebih mengecewakan tindakan tidak profesional kelab dan pasukan negeri itu dilakukan ketika pasukan kami sedang memberi fokus Piala Malaysia.

“Apa yang boleh saya sahkan di sini, kami masih tidak menerima sebarang surat rasmi yang dihantar manamana pasukan kelab dan negeri untuk mendapatkan khidmat pemain T-Team,” katanya, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Syahrizan berkata, pihaknya juga sudah memberi surat tawaran kepada pemain bagi mengharungi saingan musim depan dan pada masa yang sama akan mengadakan perbincangan terbaik dengan mereka untuk terus kekal bersama T-Team.

“Kita tahu, mereka ditawarkan gaji jauh lebih lumayan berbanding apa diperolehi bersama TTeam.

Begitupun kita akan berbincang dengan memperhalusi kehendak pemain mengikut kemampuan bagi mengelakkan mereka berhijrah ke pasukan lain,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");