Panasnya Hari Ini

Timbul Isu 1MDB Di Parlimen, Tindakan Husni Disifatkan Aneh

KUALA LUMPUR : Tindakan bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah membawa isu 1MDB ke Dewan Rakyat membuktikan beliau sendiri tidak jelas mengenai syarikat pelaburan negara itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, tindakan Husni itu disifatkan aneh apabila meminta penjelasan kerajaan mengenai isu tersebut sedangkan beliau sendiri terlibat secara langsung sebelum ini.

“Saya rasa aneh apabila bekas timbalan menteri kewangan yang terlibat sendiri membangkitkan isu mengenai 1MDB.

“Kenapa bekas menteri kewangan sendiri kena bawa ke Parlimen. Takkanlah dia sendiri semasa menjadi menteri kewangan kedua tidak ada maklumat,”katanya, lapor Free Malaysia Today.

Terdahulu, Husni di Dewan Rakyat pada Isnin mempersoalkan tujuan kerajaan menubuhkan syarikat tersebut yang didakwanya menyaksikan banyak ‘penggelapan’ berlaku tanpa dikenakan tindakan.

Husni yang merupakan Ahli Parlimen Tambun mempertikaikan wang AS$4 bilion (RM16.69 bilion) dilaporkan dalam Aabar Investment PJS Ltd, yang tidak dimiliki IPIC.

Husni juga menuntut penjelasan mengenai unit pelaburan bernilai AS$1 bilion (RM4.17 bilion) yang sepatutnya matang tahun lepas.

Beliau yang telah meletak jawatan yang dipegangnya dalam UMNO dan Barisan Nasional tahun ini turut mempertikaikan alasan di sebalik keputusan Kumpulan Wang Persaraan yang meminjamkan RM4 bilion secara sekaligus kepada SRC International, iaitu bekas anak syarikat 1MDB.

Tony berkata, tindakan yang diambil Husni itu membuktikan maklumat mengenai 1MDB hanya diketahui oleh menteri kewangan sahaja.

“Maklumat yang ada dalam 1MDB pada masa berkenaan turut disembunyikan menteri kewangan.

“Ini juga bermakna menteri kewangan kedua semasa memegang jawatan tersebut tidak diberikan penjelasan mengenai 1MDB,”katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");