Isu Panas

Tugas Majlis Syura PAS semakin mudah – Hashim Jasin

KUALA LUMPUR: Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin yang baru dilantik sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Syura petang semalam, mengakui tanggungjawab entiti tertinggi dalam parti itu semakin berkurangan selepas kejayaan besar golongan ulama pada pemilihan parti sempena Muktamar Tahunan PAS ke-61, tahun lalu.

Katanya, selepas kejayaan besar diraih kelompok ulama di Kuala Selangor itu, beliau mendapati kaedah perbincangan dan program pemukiman antara kepemimpinan parti berjalan lancar sehingga mewujudkan satu aliran, nada serta matlamat sama.

Beliau berkata, dengan pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat yang kebanyakannya membabitkan mereka yang berlatar belakangkan agama, tidak ada lagi keputusan yang diambil bercanggah dengan syarak.

“Sebelum ini (ketika golongan profesional masih menguasai kepemimpinan PAS), perjalanan mesyuarat atau pemukiman sedikit terganggu kerana wujud percanggahan pandangan.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan Majlis Syura hari ini walaupun menjadi satu badan yang diberi kuasa tertinggi dalam parti, namun dilihat bergerak sekali dengan Jawatankuasa PAS Pusat,” katanya kepada BH, hari ini.

Pada pemilihan Jun tahun lalu, barisan kepemimpinan PAS bagi tempoh dua tahun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), jelas dibarisi golongan ulama yang dilihat teguh mempertahankan dasar Islam sebagai asas perjuangan.

Ini berikutan golongan ulama menguasai saf kepemimpinan dengan kemenangan besar menyebabkan kumpulan propakatan, termasuk kumpulan Anwarinas kalah teruk dengan majoriti mencecah sehingga 600 undi daripada 1,189 perwakilan.

Penolakan terang-terangan mereka yang dilihat sebagai ‘proksi DAP’ terutama calon Presiden, Ahmad Awang dan Mohamad Sabu bagi kerusi Timbalan Presiden, membuktikan perwakilan kental mempertahankan barisan ulama sebagai tonggak kepemimpinan PAS.

Sementara itu, mengulas pelantikannya sebagai Mursyidul Am menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din, Hashim berkata, walaupun bukan kehendaknya, namun beliau akur dengan keputusan itu dan tiada alasan untuk menolaknya.

Ini kerana, katanya, beliau dilihat mempunyai lebih masa lapang berbanding AJK yang lain selepas tidak lagi menjadi wakil rakyat, selain kesihatannya tidak menghalang beliau menjalankan tugas.

“Sebenarnya, saya ambil alih tempat Allahyarham (Haron)…masa Allahyarham ada, Majlis Syura dan PAS Pusat sudah menggariskan asas politik dan kemasyarakatan yang jelas.

Jadi, tugas saya sekarang adalah meneruskan apa yang digariskan dan dipersetujui PAS Pusat,” katanya.-berita harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");