Membawang Hari Ini

Vokal siapa lebih ‘power’

Selepas Ayai dan Siti Nordiana dinobat sebagai juara program realiti popular Gegar Vaganza musim pertama serta kedua, siapa pula bakal membawa gelaran sama pada musim terbaru ini?

Masih menampilkan 12 penyanyi yang pernah meraih kegemilangan pada era mereka, Gegar Vaganza 3 (GV3) dilihat akan terus mencipta fenomena baru.

Nama seperti Azharina, Siti Sarah, Nora Ariffin, Elly Mazlein, Intan Sarafina, Zur Eda, Ameng Spring, Rem, G-Mie Screen, Shidi Data, Zarul Umbrella dan Razis Ismail pastinya memiliki kelebihan dan kelompok peminat masing-masing.

Melihatkan senarai nama itu, peserta wanita disebut-sebut bakal memberi persaingan sengit.

Perkara ini diakui Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad yang menyifatkan peserta wanita terdiri daripada mereka yang memiliki ‘vocal power’.

“Saya menjangkakan saingan sengit daripada peserta wanita. Ada di antara mereka memiliki kekuatan vokal luar biasa.

“Pada masa sama jangan dilupa peserta bukan pilihan atau ‘underdog’. Mereka dilihat biasa pada peringkat awal, namun memberi saingan dalam diam. Jadi pada minggu pertama ini baru kita boleh menilai kedudukan sebenar mereka,” katanya.

Selain menampilkan 12 peserta, GV3 masih mengekalkan Nabil Ahmad dan Jihan Muse selaku pengacara, manakala Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim sebagai juri tetap.

Ia akan ditayangkan selama lapan minggu bermula 16 Oktober ini dan dipancarkan secara langsung dari Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di saluran Astro Ria dan Ria HD.

Dalam pada itu, Azharina, 31, yang juga juara Bintang RTM 2001 menyifatkan lima peserta wanita lain adalah bagus.

Dia sama sekali tidak menjadikan keunikan vokal dimilikinya sebagai satu kelebihan untuk menidakkan kemampuan peserta lain.

“Saya percaya ketika ini mereka sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik setiap minggu. Jadi saya tak boleh terlalu selesa dengan apa yang ada. Pada kedudukan sekarang saya masih lagi belajar vokal dengan komposer Julfekar.

“Jika bercakap soal persaingan sengit daripada peserta wanita, tak boleh juga kerana peserta lelaki juga memiliki kelebihan tersendiri,” katanya.

Azharina yang mesra disapa Nina juga tidak gentar bersaing dengan rakan baiknya, Siti Sarah.

Menurut Nina, di luar pertandingan mereka tetap bersahabat dan ketika bertanding kedua-duanya perlu fokus pada persembahan.

Sementara itu, Sarah yang popular dengan lagu Kesetiaan berkata, dia sudah mempersiapkan diri dari semua segi.

“Semua sedia maklum saya ibu kepada tiga anak. Sejak ada anak, saya tak pernah cukup tidur. Jadi itu antara faktor kenapa saya sukar mendapatkan semula stamina.

“Namun, sejak merancang nak tampil dengan single terbaru, saya nekad untuk berubah dan mencari rentak semula. Alhamdulillah, saya sedikit demi sedikit sudah mendapatkannya semula,” katanya yang turut mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas vokal daripada penyanyi Ernie Zakri.

Nora akui tertekan

Nora yang sejak kebelakangan ini aktif menyanyikan lagu berunsur ketuhanan mengakui berada dalam tekanan ekoran harapan yang diletakkan kepadanya.

“Daripada awal lagi terlalu banyak sokongan yang diberikan, malah besar harapan mereka untuk melihat saya melangkah lebih jauh. Sedikit sebanyak perkara itu memberi tekanan buat saya.

“Namun, apa yang ingin dilakukan adalah memberikan persembahan terbaik. Saya tak nak terlalu meletakkan harapan tinggi kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Sejujurnya saya berharap dapat ke peringkat akhir,” katanya.

Nora yang popular menerusi lagu Persimpangan Dilema menganggap mutu persembahan adalah parkara utama yang perlu dinilai.

“Tidak dinafikan semua peserta wanita memang bagus, malah sepanjang berada dalam industri muzik saya mendengar lagu mereka dan saya juga pernah sepentas dengan mereka. Jadi, saya sudah tahu kelebihan dan kemampuan setiap orang.

“Dalam soal ini saya tak boleh nak kata siapa hebat dan tidak. Vokal setiap daripada mereka unik dan bagus. Pendek kata saya memang suka. Cuma apabila bermulanya pertandingan nanti, baru penonton dapat melihat persaingan sebenar,” katanya.

Penyanyi yang pernah bergelar Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik 2003, Siti Sarah juga mengakui peserta wanita bakal memberikan saingan sengit pada GV3 ini.

“Mereka adalah idola saya dan mereka memiliki mutu vokal yang bagus. Mana mungkin saya boleh memandang kehadiran mereka sebagai peserta biasa.

“Pendek kata, ia meletakkan saya pada kedudukan yang sengit dalam memberikan persembahan terbaik. Pada masa sama, perkara itu membuatkan saya sedikit tertekan. Bukan apa, saya pernah berhenti menyanyi selama enam tahun.

“Jadi untuk mendapatkan stamina seperti dahulu susah. Boleh dikatakan keadaan saya sekarang jauh berbeza dengan dahulu. Cuma apa saya boleh lakukan adalah mencuba yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, Zarul turut bersetuju apabila dikatakan saingan sengit datang daripada enam peserta wanita terbabit.

“Siapa yang boleh menafikan kehebatan vokal Nora, Sarah, Zur Eda dan Azharina. Mereka bukan saja cemerlang dalam genre masing-masing, malah berkeupayaan menyanyikan lagu daripada genre lain.

“Bukan saja saya, malah orang lain pasti berpendapat sama. Pada masa sama, perhatian patut diberikan kepada peserta lelaki juga. Mungkin di pentas GV ini baru masing-masing mempamer kelebihan vokal yang dimiliki,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");