Jenayah

3 rumah terbakar, 15 tinggal sehelai sepinggang

TAWAU: Tiga rumah di Batu 2 Jalan Apas, dekat sini, musnah dalam kebakaran sebentar tadi, mengakibatkan lebih 15 penghuni tinggal sehelai sepinggang. Kejadian bermula jam 11.45 pagi itu dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak sehingga memusnahkan dua rumah bersebelahan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Pegawai Kanan Bomba 1 Faizal Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 11.50 pagi sebelum menghantar 12 anggota bersama tiga jentera yang tiba di lokasi lapan minit kemudian.

“Kebakaran membabitkan rumah papan dan tiada mangsa dilaporkan. Api dapat dikawal pada jam 12.22 tengah hari dengan punca kebakaran serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya di sini, sebentar tadi.

Sementara itu, penghuni rumah, Hindon Sahiban, 50, yang ditemui di lokasi kejadian berkata, ketika kebakaran dia baru tiba dari bandar Tawau membeli barangan keperluan harian.

“Sebaik tiba, saya terkejut melihat api marak di rumah jiran dan mula merebak ke rumah saya. Jadi, saya nekad meredah masuk ke dalam rumah dan membawa keluar beberapa dokumen penting.

“Saya tidak sempat menyelamatkan barangan berharga lain. namun tetap bersyukur kerana tiada ahli keluarga serta jiran yang cedera,” katanya yang mungkin terpaksa menumpang sementara di rumah sanak-saudara.

-Bh Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");