Berita Hari Ini

Malaysia mungkin terima kesan jika TPP gagal diteruskan

KUALA LUMPUR – Malaysia mungkin menerima kesan jika Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) tidak diteruskan susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian dijalankan kementerian itu mendapati, perjanjian TPP akan membantu mempertingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia serta perolehan dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, kajian lain oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) pula mengunjurkan satu juta peluang pekerjaan dapat diwujudkan di Malaysia dalam tempoh 10 tahun selepas ratifikasi perjanjian TPP, yang dijangka pada 2018.

“Jika tiada TPP, maka perkara tersebut tidak akan dihasilkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Persidangan Asia Perniagaan Australia anjuran Majlis Perniagaan Malaysia-Australia (MABC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia kekal komited kepada perjanjian TPP, dan akan membincangkan perjanjian itu semasa mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik di Peru dalam tempoh dua minggu lagi.

“Sekarang ini masih terlalu awal untuk mengatakan apa yang akan berlaku, namun kita memantau perkembangannya, dan berbincang dengan rakan kita dari 11 negara lain,” katanya.

12 negara — AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia — telah memuktamadkan rundingan TPP di Atlanta pada 5 Okt, 2015 dan menandatangani perjanjian itu di Auckland pada 4 Februari, 2016.

Perjanjian TPP merupakan perjanjian perdagangan bebas yang telah dirundingkan sebagai sebahagian daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak 2010.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mustapa berkata ahli perniagaan Australia dan Malaysia perlu meneroka untuk menjalankan perniagaan secara bersama dan menembusi negara dunia ketiga.

“Malaysia mempunyai kedudukan yang baik di Australia dan negara itu juga merupakan pelabur penting di sini, seperti LendLease, pemaju terbesar di Australia.

“Kehadiran mereka di sini menunjukkan keyakinan Australia terhadap ekonomi Malaysia dan kita berharap ini akan mengorak laluan supaya lebih banyak syarikat Australia melabur di Malaysia,” katanya.

Pada 2015, perdagangan dan pelaburan keseluruhan antara Australia dan Malaysia bernilai A$16 bilion (AS1=RM3.27).

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");