Perak Hari Ini

7,000 Pelajar Terima Manfaat Program ‘Back to School’ Negeri Perak

LUMUT: Seramai 7,000 orang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri Perak telah menerima manfaat daripada program ‘Back To School’ sepanjang tahun 2016.

Jumlah berkenaan telah meningkat berbanding tahun lalu yang mencatatkan seramai 5,000 penerima.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, program berkenaan merupakan usaha yang dilakukan oleh kerajaan negeri dari tahun ke tahun bagi membantu rakyat setiap kali apabila musim persekolahan bermula.

“Kita faham dalam keadaan ekonomi sekarang ini, ibu bapa memerlukan perbelanjaan yang banyak bagi menampung persekolahan anak-anak.

“Sebab itu kerajaan negeri mengambil inisiatif ini dalam membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh ibu bapa,” katanya ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Perasmian Program Back To School Perak 2017 (Bantu Kami Ke Sekolah) di sini, hari ini.

20161127_160410-1_crop_1023x647

Hadir sama, isteri beliau yang juga merupakan Yang Dipertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli dan Exco Kerajaan negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Program Back To School 2017, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria.

Pada majlis tersebut, seramai 560 pelajar dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang dan DUN Sitiawan telah menerima kelengkapan persekolahan termasuklah pakaian sekolah, kasut, beg, alat tulis serta botol minuman.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR), Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) dengan kerjasama KPerak Incorporation serta Yayasan Perak.

Dalam pada itu, Muhammad Amin berkata, cetusan idea untuk mengadakan program berkenaan bermula daripada 2013 yang melibatkan hanya 2,000 penerima.

“Kita merasakan perlunya program ini diperluaskan di seluruh Perak bagi membantu golongan kurang berkemampuan serta membolehkan anak-anak dapat menikmati hari pertama persekolahan dengan hati yang gembira.

“Justeru, program ini diteruskan dan memperlihatkan peningkatan daripada segi penerima dari tahun ke tahun iaitu pada tahun 2014 mencatatkan seramai 4,000 penerima, 2015 (5,000 orang) dan 2016 (7,000 orang),” katanya lagi.

20161127_160610-1-1-800x594

Sementara itu, beliau berkata, bagi sesi kali ini, pengagihan telah dimulakan di DUN Sungai Manik pada 14 November 2016 yang lalu.

“Sehingga hari ini, sebanyak 51 DUN telah menerima bantuan persekolahan dengan jumlah keseluruhan seramai 6,110 penerima dan program ini dijangka berakhir pada pertengahan bulan Disember depan.

“Penerima sumbangan program ini terdiri daripada semua kaum termasuklah pelajar Melayu, Cina, India serta Orang Asli yang dipilih berdasarkan kriteria golongan sasar yang telah ditetapkan oleh YBUDR,” katanya.

Tegasnya, meskipun ada yang beranggapan bahawa sumbangan tersebut dilihat kecil tetapi pihaknya yakin ia sesuatu yang besar dihati anak-anak yang menerima bantuan tersebut.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");