Jenayah

Ajal pada hari terakhir sekolah

NILAI: Sesi persekolahan yang berakhir semalam, menjadi hari terakhir buat seorang murid tahun tiga Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Cempaka, di sini.

Muhammad Aidy Fikri Mohd Faizal, 9, dikatakan muntah ketika perhimpunan pagi sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.50 pagi ketika sedang dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

Bapanya, Mohd Faizal Abdul Rahman, 38, berkata, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana Allahyarham tidak menunjukkan sebarang petanda sakit dan berada dalam keadaan sihat.

“Jam 6.30 pagi tadi (semalam) saya hantar arwah pergi sekolah seperti biasa. Dia bersama dua lagi anak saya sempat sarapan pagi dengan minum air susu kotak.

“Tapi kira-kira 8 pagi isteri saya dapat panggilan telefon dari pihak sekolah memberitahu yang arwah pengsan selepas muntah ketika perhimpunan pagi,” katanya.

Menceritakan kejadian itu lebih lanjut, Mohd Faizal yang bekerja di Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Lumpur berkata, Allahyarham sebelum itu masih boleh berjalan ke tandas sambil ditemani guru dan seorang pelajar lain untuk membersihkan segala kotoran.

Bagaimanapun, katanya, Allahyarham tiba-tiba rebah dan terpaksa diangkat guru ke dewan sekolah sebelum dihantar ke Klinik Kesihatan Nilai apabila mulutnya mula berbuih dan hidungnya berair.

Melihat keadaan Aidy Fikri yang tidak stabil, katanya, Allahyarham terus dirujuk ke HTJ namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10.50 pagi.

“Setahu saya, arwah yang merupakan anak bongsu dari tiga beradik tidak ada sebarang penyakit. Cuma tiga minggu sebelum ini dia baru baik dari demam campak dan selepas itu keadaan kesihatannya baik saja.

“Apa pun, saya reda dengan apa yang berlaku kerana yang pergi tetap akan pergi. Cuma saya sedikit terkilan kerana isteri beritahu malam tadi (semalam) arwah beritahu mahu makan KFC. Tapi nampaknya tidak kesampaian,” katanya yang baru pulang berkursus kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Zaldino Zaludin mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, kejadian itu masih dalam siasatan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rusni Ab Jalil turut melahirkan rasa sedih dan simpati dengan kejadian yang berlaku.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");