Membawang Hari Ini

Ambil 2,3 tawaran satu masa

Isu pelakon mengambil dua atau tiga tawaran kerja dalam satu masa antara topik yang sering mendapat perhatian ramai dan hangat dibahaskan penggiat seni tanah air sejak dulu.

Namun, perkara itu semakin serius dan terus berleluasa bukan saja dalam kalangan artis popular malah bakat baru.

Rata-rata artis yang ditemu bual Bling! minggu ini mengakui pernah melalui situasi itu dan bagi mereka ia terpulang kepada individu untuk menanganinya.

Apa yang penting, mereka perlu bijak menyusun jadual lakonan dengan baik supaya tidak menyusahkan rakan artis dan produksi.

Siti Saleha (Pelakon)

“Saya tidak akan mengambil dua atau tiga tawaran berlakon dalam satu masa kerana tidak suka menyusahkan diri dan pihak produksi.

“Dulu saya pernah mengambil dua tawaran berlakon dalam satu masa dan serik untuk mengulanginya.

Sangat penting bagi saya untuk fokus pada satu projek saja memandangkan jadual penggambaran tidak menentu dan sering bertukar saat akhir.

“Namun, saya tidak salahkan pelakon yang terpaksa mengambil dua tawaran berlakon dalam satu masa kerana bayaran berlakon bukan banyak mana pun.

“Jika pelakon ingin mengambil dua tawaran berlakon dalam satu masa mereka perlu kerap berkomunikasi dengan pengurus produksi bagi mengatur jadual penggambaran. Pelakon juga perlu menjaga disiplin dan pandai mengurus masa supaya tidak menyusahkan pelakon lain dan produksi,” katanya.

Raja Ilya (Pelakon)

“Bersandarkan pengalaman 10 tahun dalam bidang seni, saya percaya ramai pelakon pernah mengambil dua atau tiga tawaran berlakon dalam satu masa.

“Saya sendiri pernah ketika awal pembabitan dulu. Bayangkan saya pernah dapat bayaran RM5,000 sebulan untuk satu projek drama yang penggambarannya mengambil masa dua hingga tiga bulan. Dengan bayaran sebanyak itu macam mana saya mahu menyara hidup dan keluarga?

“Maklumlah, sebagai pelakon sepenuh masa kami bukan ada gaji tetap dan bayaran lakonan juga bergantung kepada pihak produksi.

“Disebabkan itu ramai pelakon baru dan lama terpaksa mengambil lebih daripada satu projek drama dan pada masa sama pihak produksi sendiri sedia bertolak ansur dengan jadual pelakon walaupun sudah terikat dengan komitmen lain,” katanya.

Saharul Ridzwan (Pelakon)

“Saya sendiri pernah buat perkara ini ketika mula-mula berlakon dulu dan ia memang memenatkan. Apatah lagi kedua-duanya watak utama.

“Bukan saja terkejar-kejar ke lokasi penggambaran, malah saya keliru dengan karakter. Akibatnya, prestasi lakonan saya kurang memuaskan dan berasa sangat bersalah.

“Sejak itu saya hanya fokus pada satu projek drama dan rasa lebih puas apabila dapat memberikan yang terbaik,” katanya.

Erma Fatima (Penerbit, pengarah dan pelakon)

“Isu pelakon yang mengambil dua atau tiga projek drama dalam satu masa bukan perkara asing dalam bidang hiburan tanah air. Malah, ia sudah berlaku sejak zaman saya mula terbabit dalam bidang ini.

“Saya perhatikan isu ini semakin serius, bukan saja membabitkan pelakon popular malah pelakon baru juga banyak mengambil lebih daripada satu tawaran dalam satu masa sehingga mengganggu operasi produksi.

“Jika buat kerja dalam satu masa, ia boleh menjejaskan mutu lakonan mereka. Sebenarnya masalah ini boleh diatasi jika ada kesedaran dalam diri dan meletakkan kualiti lakonan sebagai keutamaan,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");