Membawang Hari Ini

Di luar jangkaan Najwa

Tanggal 20 November lalu, penyanyi dan komposer muda Najwa Latiff dinobatkan sebagai penerima Anugerah Komposer Muda Berpotensi sempena Malam Mesra Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) 2016.

Bagi pemilik nama sebenar Imratul Najwa Abdul Latif, 21, anugerah itu cukup bermakna apabila kerja kerasnya sepanjang lima tahun mencanai bakat dalam industri diiktiraf.

“Saya menganggap anugerah ini sebagai penghargaan dan pengiktirafan daripada MACP yang menghargai kerja keras selama ini.

“Anugerah juga bonus sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus menghasilkan karya yang lebih bagus dan berkualiti pada masa depan,” katanya.

Namun, kata penyanyi yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku ini, pembabitannya dalam bidang muzik bukan mengejar anugerah semata-mata.

“Saya tidak pernah menjangka akan menerima sebarang anugerah apabila melangkah masuk dalam bidang ini.

“Semuanya bermula dengan minat yang mendalam disusuli kerja keras serta sokongan padu keluarga.

“Apa yang paling penting bagi saya adalah apabila karya yang dihasilkan itu diterima peminat,” katanya yang pernah mendapat pengiktirafan Anugerah Planet Muzik 2013.

Pertaruh single terbaru, Biar

Terikat dengan kuliah di Universiti Antarabangsa UNITAR tidak menghalang Najwa menghasilkan single terbaru bagi mengubat kerinduan peminat.

Kata penuntut tahun akhir jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) itu, dia perlu membahagikan masa sebaik-baiknya di antara karier seni dan pengajian.

“Jadual kuliah memang padat hingga saya perlu mengambil masa lama untuk menghasilkan lagu baru.

“Bayangkan saya ambil masa hampir sembilan bulan untuk siapkan single Biar.

“Pada masa sama, saya turut menyusun strategi dan perancangan kerjaya seni,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai single terbabit, Najwa berharap ia dapat menjadi sumber inspirasi peminat.

“Lagu ini saya cipta sendiri dan liriknya pula ditulis Ika Latif. Ini adalah single ke-12 kami.

“Ia diberikan sentuhan moden dan segar tetapi masih ada elemen cinta dalam lirik.

“Apa yang boleh saya katakan mengenai Biar, ia santai dan melodinya ada unsur pop dan ‘cathcy’ sesuai dengan kematangan usia,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");