Membawang Hari Ini

Giliran peminat di Kelantan

Kehadiran artis sempena Jelajah Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-22 di Aeon Mall Kota Bharu, Kelantan petang Sabtu lalu disambut meriah penduduk negeri itu.

Sebelum ini, AIM sudah menjelajah ke tiga lokasi iaitu Aeon Mall Klebang, Ipoh, Aeon AU2 4Setiawangsa dan Aeon Tebrau City, Johor Baharu.

Pertama kali diadakan di Kelantan, acara itu membuka tirai pada sekitar jam 3 petang dengan persembahan Fahd Ezuan menerusi lagu Cerita Cinta Kita.

Acara yang dikendalikan DJ Shah diteruskan dengan Deen Asimi melalui lagu Luka diikuti kumpulan Tuah Saja.

Kumpulan dianggotai enam jejaka itu menghiburkan pengunjung pusat beli-belah terbabit dengan tiga lagu iaitu Tarapapa Hey, Dia Cahaya dan Cari Cinta 1 Malaysia.

Kemudian, pentas diserahkan kepada kumpulan The Mikraj yang tercalon dalam kategori Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (berkumpulan) AIM22.

Mereka mendendangkan lagu ciptaan Hafiz Hamidun, Cinta Kami diikuti Qod Kafani.

Acara diselang-seli dengan pengenalan produk penaja utama AIM 22, Sweedskin dan diteruskan dengan persembahan penyanyi nasyid yang juga bekas anggota In-Team, Suhaimi Saad.

Bagi persembahan pertamanya, Suhaimi membawa penonton mengimbau kembali zaman kegemilangan In-Team menerusi lagu Kasih Kekasih yang diperkenalkan pada 2000.

Kemudian, dia menyampaikan lagu Cinta Sidna yang tercalon dalam Top 5 Lagu Nasyid Terbaik.

Acara bertambah meriah dengan kehadiran Daqmie yang mendendangkan lagu Tangisan Sebatang Tamar diikuti persembahan istimewa dari band Kelantan Ezzrin & Rhe Classmates menyanyikan single Cinta Sia Sia.

Lah Ahmad menghiburkan penonton dengan dua lagu iaitu Maulaya dan Salam. Manakala Eddie Hamid menyampaikan lagu Segalanya Berakhir diikuti duet Joget Kelate dengan duo Man Khan & Aris.

Selesai persembahan itu, Man Khan & Aris meneruskan acara dengan menyanyi lagu Kelik La Wei yang turut tercalon dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik.

Acara melabuhkan tirai dengan persembahan hebat penyanyi baru dari Singapura, Harris Baba.

Harris yang juga pelakon drama Cinta 11 Syarat memilih mengalunkan lagu Hindi, Tujh Mein Rab Dikhta Hai diikuti Pillow Talk nyanyian asal Zayn Malik.

Penyanyi berusia 25 tahun itu mengakhiri persembahannya dengan single hit Katakan yang kini mencatat lebih 4 juta tontonan di YouTube.

Sementara itu, anggota Tuah Saja, Ejad ketika ditemui berkata, jelajah AIM22 membantu memperkenalkan lagu mereka kepada orang ramai.

“Kami bersyukur mendapat peluang ini kerana sebagai artis baru, jelajah ini landasan terbaik mempromosikan lagu kami.

“Sejak mengikuti jelajah AIM22 ke lima lokasi, jumlah tontonan klip video Dia Cahaya di YouTube dan pengikut di laman sosial bertambah,” katanya.

Bagi pembaca yang belum mengenali Tuah Saja, kumpulan ini adalah gabungan penyanyi Mentor Legend, Tuah dan band Saja yang dianggotai Akmal, Ejad, Faisal, Syafiq serta Faiz.

Menurut Ejad, kumpulan Saja berkenalan dengan Tuah dalam satu persembahan di Shah Alam tahun lalu sebelum berkolaborasi menghasilkan single sulung, Dia Cahaya.

Walaupun masih bergerak secara solo, Tuah memberitahu dia lebih mengutamakan kumpulan kerana nampak hala tuju bersama Saja.

“Potensi saya pergi jauh dalam bidang ini lebih cerah sekiranya bergerak bersama Saja,” katanya.

Selain Aeon Mall Kota Bharu, AIM turut mengadakan sesi ramah mesra artis bersama peminat di pusat beli-belah G-Orange.

Barisan artis yang terbabit adalah Eddie Hamid, Tuah Saja, Man Khan & Aris serta Ezzrin & The Classmates.

Lokasi terakhir Jelajah AIM22 akan berlangsung di Aeon Mall Shah Alam pada 3 Disember ini.

Antara artis dijangka hadir membuat persembahan adalah Aiman Tino, Tuah Saja, Azlan & The Typewriter, Projek Pistol, Black, Poova, Aishah Bujang dan Azzaraband.

Malam kemuncak AIM 22 bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 18 Disember ini.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");