Sukan Hari Ini

Kami akan pamer belang sebenar – Amri

YANGON: Kapten skuad kebangsaan, Amri Yahyah menegaskan betapa bukan sekadar keputusan seri yang dicari pada pertemuan dengan Vietnam, sebaliknya sasaran Harimau Malaysia adalah untuk memburu kemenangan.

Selepas menundukkan Kemboja 3-2 pada perlawanan pertama Isnin lalu, Harimau Malaysia bakal menghadapi cabaran lebih getir berdepan pasukan pilihan, Vietnam pada aksi kedua Kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna, jam 4.30 petang ini.

Amri berkata, melihat kepada keyakinan tinggi yang ditunjukkan barisan pemain Harimau Malaysia, tidak mustahil untuk mereka menundukkan Vietnam walaupun pasukan itu dilihat lebih banyak memiliki kelebihan.

“Dengan keyakinan tinggi yang ada pada Harimau Malaysia sekarang, saya percaya kami akan bermain bersungguh-sungguh dan melakukan yang terbaik.

“Kami perlu mendapatkan mata untuk terus mara ke pusingan seterusnya dan lebih selesa adalah dengan mencipta kemenangan ke atas Vietnam,” katanya pada sidang media di Novotel Yangon Max, semalam.

Tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT) berusia 35 tahun itu memiliki pengalaman yang cukup luas dalam saingan Piala AFF Suzuki selepas menyertainya pada 2004, 2010 dan 2014.

Ditanya mengenai skuad Harimau Malaysia yang kurang diberi harapan untuk memenangi perlawanan dengan Vietnam pula, Amri menjelaskan perkara itu bakal menjadi pembakar semangat utama untuk dia dan rakan sepasukan melakar kejutan.

“Itu (kurang diberi harapan) antara penyebab untuk kami terus mara. Sebelum ini kami sudah dapat tiga mata (menewaskan Kemboja).

“Jadi, tiada guna kalau kami dapat tiga mata perlawanan pertama dan kemudian tewas. Apa yang penting kami akan berusaha mendapatkan kemenangan,” katanya.

-BH ONline

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");