Berita Hari Ini

Laksana Qunut Nazilah doakan kesejahteraan masyarakat Islam Rohingya

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengadakan Qunut Nazilah di Masjid Negara, Kuala Lumpur, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini, Jumaat ini bagi mendoakan kesejahteraan masyarakat Islam Rohingya.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Othman Mustapha, berkata Qunut Nazilah turut diadakan di semua masjid dan surau Jumaat di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).

“JAKIM juga memohon kerjasama dan jasa baik Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri di seluruh negara untuk meminta semua masjid di negeri masing-masing turut sama mengadakan Qunut Nazilah pada Jumaat ini.

“Sehubungan itu, JAKIM menyeru semua pihak bersama kita berdoa supaya masalah dihadapi masyarakat Islam Rohingya akan dapat diselesaikan segera, selain mampu menjalankan aktiviti harian dengan lebih lancar dan sempurna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Qunut Nazilah adalah satu daripada tiga jenis qunut yang sunat dibaca dalam solat mengikut Mazhab Syafie, selain qunut dalam solat Subuh dan qunut pada separuh malam kedua terakhir dalam solat Witir di bulan Ramadan.

“Qunut Nazilah sunat dibacakan ketika umat Islam didatangi bencana atau ditimpa musibah seperti ketakutan dan ditimpa wabak serta ia tidak dibacakan jika umat Islam tidak didatangi cubaan seperti itu,” katanya.

Katanya, JAKIM memandang serius kezaliman terhadap masyarakat Islam Rohingya yang diseksa dan dibunuh di Rakhine, sebuah negeri di utara Myanmar.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");