Berita Hari Ini

KPKT Tampil Wajah Baharu PPR – Noh Omar

PENGHUNI Projek Perumahan Rakyat (PPR) kini boleh menarik nafas lega apabila kerajaan Persekutuan mula merangka inisiatif untuk mengatasi isu vandalisme, jenayah dan kerosakan kemudahan di kawasan penempatan itu.

Antara tumpuan utama sudah pasti menangani masalah kerosakan lif di mana kemudahan tersebut akan ditambah baik apabila diganti dengan lif baharu.

Bukan itu sahaja, lif baharu itu pula akan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan sistem kad akses.

Langkah proaktif Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini bakal dilaksanakan di 113 PPR di bandar dan pinggir bandar.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, penambahbaikan kemudahan itu merupakan sebahagian daripada transformasi PPR menerusi pelaksanaan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Mengulas tentang isu lif katanya, aktiviti vandalisme sering menjadi punca masalah itu hingga membebankan penghuni PPR.

“Selain vandalisme, jenayah turut dikesan di PPR dan bagi mengatasi masalah ini, proses penggantian lif yang dilengkapi CCTV dan sistem kad akses akan dilakukan.

“Pusat kawalan akan diwujudkan bagi memantau setiap CCTV,” katanya dalam wawancara bersama media baru-baru ini.

Selain lif baharu, penambahbaikan yang dirancang KPKT di semua PPR itu turut melibatkan tempat letak kereta, tangga, dewan dan jalan.

KPKT yang diterajui Noh sejak Jun lalu bagi mempertingkatkan sosio ekonomi, infrastruktur dan kemudahan sosial untuk kesejahteraan rakyat.

Selain itu, Noh mengarahkan KPKT supaya bekerjasama dengan penduduk tempatan untuk melaksanakan proses pemutihan di PPR bagi mengenal pasti penduduk asal, penyewa dan warga asing dalam menentukan status rumah dan penghuni.

Projek perintis bagi transformasi ini, katanya akan dilaksanakan di PPR Lembah Subang 1, sebelum diperluaskan ke semua PPR berdasarkan peruntukan yang disediakan.

Tambah Noh, PPR Lembah Subang 1 ketika ini di bawah pengurusan kerajaan negeri Selangor dan KPKT akan mengambil alihnya mulai 1 Januari depan.

“Kita mahu ambil alih kerana ia tidak diuruskan dengan baik, dan seterusnya melaksanakan transformasi di kawasan perumahan itu untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

Berdasarkan Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Oktober lalu, sebanyak RM300 juta diperuntukkan untuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia bagi membaik pulih PPR dan perumahan awam.

Mengulas lanjut, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang berkata, peruntukan itu menunjukkan keprihatinan perdana menteri terhadap golongan miskin bandar serta menyokong konsep kesejahteraan bandar.

Katanya, KPKT turut berperanan untuk menambah baik kawasan perumahan dan persekitaran, meningkatkan peluang ekonomi dan membangunkan modal insan di PPR.

Setakat November 2016, sebanyak 113 projek PPR disiapkan membabitkan 80,252 unit.

Harga rumah PPR seunit secara purata adalah RM165,000, tetapi kerajaan Persekutuan menjualnya pada harga RM35,000 dengan subsidi RM130,000 seunit.

Walaupun banyak projek PPR telah dibangunkan untuk rakyat, Noh berkata, masih terdapat rumah yang belum diduduki membabitkan kira-kira 11,000 unit.

Ini kerana katanya, majoriti penduduk yang ditawarkan kediaman PPR merupakan golongan miskin dan berpendapatan rendah.

“Kebanyakan mereka tidak berpendapatan tetap, jadi sukar untuk mendapatkan pembiayaan bank,” ujar Noh.

Sehubungan itu, beliau berkata, kerajaan menaikkan kadar kelayakan permohonan PPR untuk individu berpendapatan kurang RM2,500 kepada RM3,000.

“Kita juga memperkenalkan skim sewa beli PPR di mana pemohon tidak perlu bayar deposit, hanya perlu jelaskan sewa dalam tempoh tertentu sebelum rumah itu menjadi milik mereka,” katanya.

Menurut Noh, tumpuan utama kerajaan ialah untuk menyediakan perumahan mampu milik melalui PPR kepada rakyat yang berpendapatan rendah.

“Di bawah konsep ini, saya berharap rumah-rumah PPR yang kosong ini akan dapat dihuni akhir tahun ini, sekaligus tidak timbul isu mereka yang layak tidak mendapat bantuan daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

-mstar

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");