Sukan Hari Ini

Murray ‘berpeluh’

London: Andy Murray akan berdepan Stanislas Wawrinka, Kei Nishikori dan Marin Cilic pada peringkat kumpulan Pusingan Akhir Jelajah ATP ketika pemain yang baharu ditabal sebagai pemain nombor satu dunia itu berhasrat memenangi kejohanan berprestij itu buat julung kali.

Murray tidak pernah melepasi peringkat separuh akhir pada kejohanan penamat musim itu, namun pemain Scotland itu hadir di Arena O2 London dengan semangat tinggi merebut kejuaraan.

Pemain berusia 29 tahun itu memadamkan penguasaan Novak Djokovic selama 122 minggu di puncak ranking hujung minggu lalu selepas melayakkan diri ke final Masters Paris.

Bagi memastikan dia memegang tampuk pemain nombor satu lebih daripada dua minggu, Murray mesti menyamai atau mengatasi pencapaian Djokovic pada Pusingan Akhir Jelajah, kejohanan yang dikuasai pemain Serbia itu sejak empat tahun lalu.

Selepas menikmati kejayaannya ketika terbang pulang ke London dengan jet peribadi sesudah menjuarai Masters Paris Ahad lalu, Murray mengetahui lawan awalnya pada Pusingan Akhir Jelajah, semalam.

Murray meraih keputusan bercampur baur dengan lawannya di peringkat kumpulan tahun ini, kalah kepada Nishikori dari Jepun pada suku akhir Terbuka AS selepas mengalahkannya pada Olimpik Rio dan Piala Davis.

Dia kalah tiga daripada empat pertemuan terakhir menentang pemain nombor tiga dunia Wawrinka, termasuk di peringkat kumpulan tahun lalu, sekalipun dia mengalahkan pemain Switzerland itu dalam pertembungan tunggal mereka tahun ini pada separuh akhir Terbuka Perancis.

Murray turut kecundang di tangan bekas juara Terbuka AS Cilic dalam pertemuan terakhir mereka pada final Cincinnati namun dia menyingkirkan pemain Croatia itu pada separuh akhir Queen’s Club, Jun lalu.

Selepas menang Wimbledon buat kali kedua dan meraih pingat emas perseorangan Olimpik kali kedua dalam kariernya, Murray boleh melengkapkan tahun impian dengan menjulang trofi Pusingan Akhir Jelajah.

“Semalam hari yang hebat, hari ini hanya hari biasa di rumah bersama keluarga,” kata Murray, yang akan berdepan Cilic pada perlawanan pertama Pusingan Akhir Jelajah, Isnin ini.

“Sebaik anda berada di gelanggang, anda tidak memikirkan mengenai ranking anda. Anda berdepan lapan pemain terbaik dunia. Saya tidak sabar untuk keluar ke gelanggang di sana dan beraksi di O2.”-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");