Sukan Hari Ini

NS waspada Tok Gajah

NEGERI Sembilan terpaksa membuat rombakan besar pada kesebelasan utamanya gara-gara ketumpulan barisan hadapan, kecederaan dan penggantungan tonggak akibat dua kad kuning dan merah.

Inilah tindakan drastik tetapi tetap diharap berkesan apabila mengunjungi Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan dalam saingan suku akhir pertama bola sepak Piala Emas Raja-raja Ke-76, 2016, malam ini.

Kapten Anthony Maniam yang menjaringkan dua gol penalti ketika menentang Penjara FC dan Selangor minggu lalu, direhatkan kali ini bagi memberikannya masa menjalani pemulihan daripada kecederaan urat pelipat lutut.

“Kami tidak mahu ambil risiko kalau terus menurunkannya di Kuantan kerana kami lebih memerlukan khidmatnya dalam suku akhir kedua di Stadium Tampin, minggu depan,” kata jurulatih Negeri Sembilan, Abd Halim Sulaiman.

Jelasnya, dua tonggak yang menjalani penggantungan ialah bek kiri, Norhafizi Ibrahim dan Suhaili Ab Rahman, namun tempat mereka sudah mendapat pengganti yang setimpal dengan kemasukan Norfaizzol Faroq Shaharudin dan Faisal Yusof.

Negeri Sembilan tetap menjadi tumpuan malam ini atas reputasinya selaku juara bertahan Piala Emas Raja-raja dan Piala Agong 2016 biarpun bergelut dalam aksi Kumpulan B dengan dikejutkan Penjara FC 3-1, mengalahkan Selangor 2-0 dan seri 0-0 dengan Perak.

Halim mengakui bukan mudah menjinakkan Pahang di Kuantan, apatah lagi tuan rumah pasti masih menyimpan ‘dendam’ kempunan ke final tahun lalu, biarpun memenangi separuh akhir kedua, 2-1 di situ namun tersingkir kerana kalah agregat 3-2.

“Kami tahu ini tugas sukar tetapi jika dapat meraih apa sahaja gol di Stadium Darul Makmur pun sudah cukup sebagai bekalan gol tempat lawan apabila bermain di Tampin pula, Sabtu depan,” katanya yang melantik Shahrin Mansor sebagai kapten baharu.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");