Panasnya Hari Ini

PAU 2016 : ‘Serang’ Pembangkang, Tun M Bermati-Matian – Khairy

KUALA LUMPUR : Jentera Pemuda UMNO diminta untuk bertindak lebih agresif ‘menyerang’ gerakan pembangkang yang dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, sentimen rasa hormat untuk mengenang jasa bekas Presiden UMNO itu perlu dihapuskan memandangkan Dr Mahathir kini menjadi pengkhianat kepada perjuangan UMNO.

“Jasa Tun akan sentiasa kami kenang, tetapi pengkhianatan Tun, pembelotan Tun, akan bermati-matian kami tentang.

“Tidak boleh ada walau sekelumit rasa simpati terhadap mereka yang satu ketika pernah bersama namun kini menyanggah perjuangan kita. Kita sedang berperang. Yang mentang, kita lawan,”tegasnya, lapor mstar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Selain Tun Mahathir, antara individu lain yang perlu ditentang ialah bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah,Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Mereka yang pernah menjadi pemimpin kita, rakan kita satu ketika dahulu sudah jelas menentang kita. Dalam dunia politik, kita sudah berkerat rotan, berpatah arang dengan Mahathir, Muhyiddin dan Mukhriz.

“Yang tidak bersama UMNO, sila keluar sekarang. Keluar dari barisan. Jangan jadi musuh dalam selimut, gunting dalam lipatan, api dalam sekam. Jangan jadi dayus, jangan jadi bacul. Jangan sembunyi. Kalau tak suka, lawan depan-depan,”katanya.

Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan turut mengingatkan agar jentera Pemuda UMNO perlu berwaspada dengan gerakan politik tiga individu berkenaan menerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mengulas lanjut, beliau difahamkan bahawa kini terdapat cubaan untuk melemahkan UMNO dari dalam parti.

“Kita sudah dengar cerita bahawa ada arahan dari pimpinan PPBM untuk ahli UMNO yang sudah berpaling tadah dan mahu berhijrah kepada mereka untuk sorokkan dahulu pertukaran, sembunyikan dahulu pembelotan dan senyapkan dahulu pengkhianatan.

“Mereka hanya akan muncul untuk mengejutkan UMNO dengan serangan hendap ketika semboyan kempen sudah berbunyi. Ketika itu sudah terlewat untuk kita bertindak dan jentera pilihan raya dilumpuhkan oleh sabotaj dalaman,”kata Khairy.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");