Jenayah

Pecah siling hotel untuk curi sarang burung

KUALA ROMPIN: Empat lelaki yang menginap di sebuah hotel di Taman Kencana, di sini, dengan tujuan untuk mencuri sarang burung layang-layang tidak berjaya setelah diberkas pihak polis ketika berada dalam bilik.

Kegiatan suspek yang berusia 31 hingga 38 tahun dan berasal dari Kelantan itu disedari oleh pemilik rumah burung berkenaan yang terdapat di tingkat atas bangunan hotel berkenaan apabila sistem penggera pada telefon bimbitnya memberikan isyarat.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Muhammad Aidil Roneh Abdullah, berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.10 tengah malam semalam selepas suspek bertindak memasuki rumah sarang burung melalui siling bilik tempat mereka menginap.

Menurutnya, sistem penggera pada telefon bimbit pemilik rumah burung itu aktif memberi isyarat ia telah dipecah masuk dan beliau bersama rakan-rakannya bertindak pergi ke lokasi untuk mendapatkan kepastian.

“Pengadu bersama kawan-kawannya telah pergi ke tempat kejadian dan mendapati terdapat kesan pecah pada siling bangunan selain mendapati ada beberapa alatan yang disyaki telah digunakan untuk pecah masuk ditinggalkan di dalam bangunan tersebut.

“Pengadu telah ke Balai Polis Kuala Rompin untuk membuat laporan polis dan bertindak atas aduan itu, sepasukan polis telah ke lokasi seterusnya berjaya menahan keempat suspek di bilik mereka,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Muhammad Aidil berkata, pihak polis telah merampas beg plastik hitam bertulis sarang burung walit berisi sarang burung, sebuah kereta Toyota Innova warna hitam, pemotong (cutter), tali, kuku kambing, pahat dan blacktape.

Menurutnya, pemilik menanggung kerugian sekitar RM5,000 akibat siling yang rosak selain barang yang dicuri oleh suspek iaitu sekampit sarang burung Layan-layang dengan anggaran berat sekitar 4 Kilogram (kg).

“Keempat suspek kini direman selama empat hari untuk siasatan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah masuk bangunan,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");