Jenayah

Penolong Pegawai Tanah kena reman

Johor Bahru: Mahkamah Majistret di sini, hari ini membenarkan tahanan reman selama enam hari terhadap seorang Penolong Pegawai Tanah, Pejabat Tanah Daerah Johor bagi membantu siasatan berhubung kes membabitkan salah guna kedudukan.

Penolong Pendaftar Nurhidayah Abd Manaf membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman lelaki yang berusia 50-an itu sehingga 4 Disember ini.

Perintah itu membolehkan suspek disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan kes dihadapinya.

Perintah reman terhadap suspek susulan tindakan SPRM menahan seorang penolong pegawai tanah dan pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT), masing-masing di Pejabat Tanah dan Daerah di Johor dan pejabat PBT di Melaka.

Penolong pegawai tanah terbabit yang berusia 50-an itu ditahan di pejabat SPRM Johor, 2 petang semalam, manakala pegawai PBT di Melaka terbabit ditahan di satu lokasi di bandar Melaka.

Sumber SPRM berkata penolong pegawai tanah ditahan itu dipercayai memiliki sekitar 33 hektar tanah serta aset perumahan mewah di beberapa lokasi di negeri itu yang di luar kemampuannya sebagai penjawat awam.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit memiliki beberapa lot tanah pertanian seluas lebih 30 hektar selain tanah rumah kediaman serta sebuah kediaman mewah di beberapa daerah di Johor.

Suspek disyaki menggunakan kedudukannya untuk mengambil tindakan berkaitan hal ehwal pejabat tanah daerah bagi memperoleh tanah selain memperoleh tanah secara pindah milik.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");