Berita Hari Ini

Produk luar negara tak semestinya lebih baik – TPM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan mahasiswa tempatan supaya mengelak daripada membuat perbandingan dengan menganggap menuntut di luar negara adalah lebih baik berbanding di tanah air.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tanggapan seperti itu perlu diperbetulkan kerana kualiti pendidikan negara ketika ini berada di aras tinggi dan semakin baik.

Beliau berkata, tidak semua penuntut dari luar negara berkualiti, malah ada yang dikesan cuba membawa budaya serta anasir negatif seperti LGBT dan pemikiran liberal.

“Jangan cuba memandang produk luar lebih baik berbanding dalam negara. “Ketiadaan peluang belajar di luar negara bukan bermakna kualiti akademik kita kurang. Saya menuntut dari peringkat sekolah sehingga PhD (doktor falsafah) dalam negara saja.

“Ada faktor lain yang menjadi kekangan tetapi kita tidak pernah kompromi dari segi kualiti yang ada pada kita. Kita mungkin tidak dapat pendedahan di luar negara, bukan bermaksud kita mendapat pendidikan tidak sempurna di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kepemimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Ibrahim Shah Abu Shah. Seramai 150 mahasiswa dalam dan luar negara terbabit pada persidangan sehari itu, dianjur bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, yang akan membuka tirainya Selasa ini.

Ahmad Zahid berkata, tidak semua dasar dan budaya luar positif boleh diterima masuk ke dalam negara ini kerana Malaysia masih memerlukan penyesuaian tertentu.

“Apakah sesuatu yang baik di Barat boleh diacukan terus kepada kita? Tidak semestinya begitu. Mungkin ada yang boleh diambil, tetapi untuk ambil 100 peratus acuan itu mungkin tidak boleh.

“Tidak bermakna juga kita mengetengahkan nilai terlalu ‘kekampungan’ kerana produk tempatan juga boleh menghasilkan sesuatu yang jauh lebih baik daripada produk luar negara,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");