Membawang Hari Ini

Saharul Ridzwan: Penanda aras kerjaya seni saya

TERJUN ke layar perak menjadi idaman ramai pelakon. Boleh dikatakan, peluang itu umpama bonus yang sukar dilepaskan begitu sahaja.

Tambahan pula, filem merupakan medan sebenar bagi menguji kemampuan dalam bidang lakonan.

Berpegang pada kata-kata itu, dalam diam, Saharul Ridzwan menyimpan hasrat untuk berlakon filem sekali gus menjadi penanda aras dalam kerjaya seninya.

“Jujur, saya sememangnya mahu berlakon filem.

“Tapi, entah mengapa, penerbit atau pengarah tidak berani ambil saya,” katanya ketika ditemui pada pembukaan cawangan keenam Estetika Medispa, baru-baru ini.

Ironinya, pelakon berusia 28 tahun ini sudah pun memulakan langkahnya apabila muncul dalam filem arahan Michael Ang, Hantu Rumah Sakit Jiwa.

Pun begitu, anak jati Kelantan ini kurang bernasib baik apabila filem bergenre komedi seram itu masih belum menemui penonton meskipun sudah selesai menjalani penggambaran, sejak tahun lalu.

“Sebenarnya, saya mahu mencari kepuasan. Saya sudah menimba pengalaman berlakon dalam pelbagai drama dan telefilem.

“Biasanya, jika dalam drama, saya akan mencari tempoh masa yang lama untuk menjiwai sesuatu watak yang diberikan.

“Bagi telefilem pula, biasanya dalam lapan hari, saya sudah boleh fokus dengan watak yang diberikan,” katanya.

Atas dasar itu, pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Hati Perempuan ini, berharap agar filem tersebut dapat ditayangkan secepat mungkin.

“Saya tahu, setiap orang filem mahupun drama, ada skop tersendiri.Jadi, selagi belum ditayangkan, mereka tidak akan dapat melihat kemampuan saya.

“Sebab itu, saya ternanti-nanti kemunculan filem ini di layar perak,” katanya.

Pada masa sama, pemilik nama penuh Mohd Saharul Ridzwan Hashim ini bagaimanapun akur untuk membuat kemunculan pertama hanya menerusi sebuah naskhah ringan.

“Saya pernah letak sasaran yang filem pertama saya mestilah bergenre aksi. Tapi, lama-kelamaan saya sedar, saya perlu bermula semula dari bawah.

“Jadi, walaupun filem tersebut hanyalah sebuah naskhah ringan, ia adalah langkah pertama saya melangkah ke dunia perfileman.

“Lagipun, kini, ramai pendatang baharu dan saya pun mahu bersaing secara sihat.Jadi, bagi saya, cara persaingan yang sihat adalah menerusi kualiti dalam lakonan yang termampu saya berikan,” katanya.

Jaga penampilan

Dalam pada itu, sebagai seorang selebriti, Saharul sentiasa mementingkan aspek penampilan.

Bahkan, pelakon drama Kau Aku Kita ini mengakui pernah menjalani rawatan spa selain mementingkan aspek penjagaan muka.

“Kini, lelaki sama sahaja seperti wanita. Perlu menjaga penampilan diri.

“Saya sendiri pernah dihalau gara-gara muka penuh jerawat ditambah pula dengan badan kurus kering ketika mahu menjalani uji bakat untuk pencarian model di sebuah agensi, kira-kira 10 tahun lalu.

“Walaupun kecewa, saya anggap ia sebagai cabaran dan meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penjagaan diri dan penampilan,” katanya.

Sementara itu, bercerita sisi kehidupan peribadinya pula, Saharul tidak menolak rezekinya semakin murah selepas mendirikan rumah tangga dengan Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir, September lalu.

“Alhamdulillah. Ya, saya percaya dengan kenyataan itu dan semuanya telah tertulis.

“Malah, rezeki itu juga luas. Tidak kiralah soal anak, bisnes, kerjaya dan sebagainya.

“Apa yang saya perlu lakukan adalah percaya bahawa ALLAH SWT itu akan mengurniakan rezeki jika berusaha,” katanya yang bakal muncul menerusi telefilem, Trauma dan Liga Masjid.

-Sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");