Berita Hari Ini

Sultan Johor rasmi Karnival Jualan Mega 2016

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan menyempurnakan perasmian Karnival Jualan Mega 2016 di Dataran Angsana Mall di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim pada jam 10.30 pagi disambut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sultan Ibrahim turut menyampaikan sumbangan keperluan dan kelengkapan sekolah kepada 36 murid terpilih pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Hamzah dalam ucapannya berkata, karnival berbentuk pameran dan jualan yang julung kali diadakan secara bersepadu oleh kementeriannya itu adalah yang terbesar pernah diadakan di Johor membabitkan pelbagai kluster produk serta perkhidmatan secara menyeluruh.

Katanya, karnival itu dijayakan dengan penggabungan beberapa program berimpak tinggi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) termasuk Kempen Beli Barangan Malaysia, Sambutan Hari Penjaja, Hari Pengguna dan Hari Francais Kebangsaan.

“Objektif program ini untuk mengetengahkan karnival jualan secara besar-besaran sebagai pilihan kepada masyarakat untuk berbelanja pada harga berpatutan dan lebih rendah berbanding di pasaran.

“Karnival ini juga dapat membantu pengeluar untuk memasar dan mempromosikan produk buatan Malaysia serta perkhidmatan mereka, sekali gus dapat membantu merancakkan ekonomi domestik dan menggalakkan pembangunan industri tempatan,” katanya.

Karnival Jualan Mega 2016 yang berlangsung lima hari bermula Rabu lalu dan berakhir pada Ahad ini padat dengan pelbagai aktiviti menarik yang boleh dimanfaatkan pengunjung.

Antara yang menarik perhatian adalah trak Mack milik Sultan Ibrahim yang turut dipamerkan dalam satu khemah khas di kawasan pameran di Dataran Angsana Mall.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");