Sukan Hari Ini

Tak boleh gantung sesuka hati

Kuala Lumpur: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) menegaskan jika skuad Harimau Malaysia menarik diri secara tiba-tiba daripada saingan Piala AFF 2016 tidak bermakna Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan digantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John berkata, jika kerajaan Malaysia meminta pasukan bola sepak negara untuk pulang ke tanahair sebagai tanda memboikot kejohanan itu, ia tidak boleh ditafsirkan sebagai campur tangan pihak kerajaan tetapi tindakan itu boleh diertikan sebagai menyokong hasrat kerajaan.

“Apa yang dikatakan campur tangan kerajaan adalah apabila keputusan boikot di keluarkan kerajaan dan FAM tidak mahu ikut. Kemudian kerajaan cuba menggantung FAM atau mendenda itu barulah disebut sebagai campur tangan.

“Tetapi kalau FAM bersetuju untuk ikut ketetapan kerajaan, ia tidak salah dan FIFA tak boleh nak gantung FAM sesuka hati. Kita kena faham, kerajaan juga memainkan peranan penting dalam membantu memajukan bola sepak.

“Saya harap kekeliruan ini dapat diperbetulkan dan difahami semua pihak,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, hari ini.

Sebelum ini timbul pelbagai andaian daripada pemerhati bola sepak yang mengakui bimbang kemungkinan masa depan bola sepak negara bakal mengalami ‘zaman hitam’ dengan berdepan penggantungan oleh FIFA jika kerajaan Malaysia mengarahkan skuad Harimau Malaysia menarik diri daripada saingan Piala AFF.

Malah, difahamkan kedudukan pasukan negara untuk terus bertanding atau memboikot Piala AFF bergantung kepada keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri esok.

Mengulas bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas FAM sekiranya memilih untuk meninggalkan negara itu lebih awal, beliau menjelaskan hukuman hanya boleh dijatuhkan oleh Persekutuan Bolasepak Asean (AFF).

Hukuman penggantungan itu hanya membabitkan skuad utama dan tidak kepada pasukan belia negara mahupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

“Kebiasaannya kalau ada mana-mana pasukan yang menarik diri selepas bermain, hukuman yang biasa dikenakan adalah menggantung pasukan yang terbabit dalam kejohanan itu dengan digantung dua edisi.

“Maknanya jika FAM menarik diri, pasukan Malaysia tidak boleh bermain dalam saingan sama. Tetapi untuk kejohanan-kejohanan lain di bawah AFC seperti kelayakan Piala Asia atau skuad remaja, ianya tidak termasuk dalam penggantungan itu.

“Hukuman itu hanya berkisar dalam saingan Piala AFF sahaja dan tidak ada kena mengena dengan hukuman penggantungan dari FIFA,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");