Sukan Hari Ini

Zulfadli sasar suku akhir

PEMAIN profesional negara, Zulfadli Zulkifli meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat suku akhir Terbuka China 2016.

Kejohanan bertaraf Super Series Premier itu, bermula pada Selasa depan.

Zulfadli yang menjuarai dua GP Emas (Terbuka Brazil dan Terbuka Rusia) baru-baru ini, ditawarkan ke undian utama, selepas Datuk Lee Chong Wei dan beberapa pemain lain menarik diri daripada kejohanan tersebut.

“Saya akan berangkat ke China, Ahad ini. Sepatutnya saya perlu melalui pusingan kelayakan, tetapi disebabkan beberapa pemain menarik diri, saya ditawarkan ke undian utama. Cuma saya belum tahu siapa lawan kelak.

“Apa pun, saya berharap dapat pergi lebih jauh iaitu sekurang-kurangnya sampai ke peringkat suku akhir. Tapi kalau dapat capai lebih tinggi dari itu, adalah lebih baik,” kata pemain berusia 23 tahun itu ketika ditemui di Canselori UiTM, Shah Alam, kelmarin.

Selepas itu, dia akan menyertai Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong Yonex Sunrise 2016 bertaraf Super Series (22 hingga 27 November) dan Grand Prix (GP) Gold di Terbuka Macau pada 29 November hingga 4 Disember.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Profesor Emiritus Datuk Dr Hassan Said berkata, pihak universiti menaruh harapan besar kepada penuntut jurusan Sains Sukan itu untuk menaikkan lagi rankingnya di dunia.

“UiTM menaruh harapan yang besar kepada Zulfadli kerana bagi kita, dia ada potensi yang cukup besar dalam sukan badminton. Jadi apa yang UiTM bantu ialah dengan memberi sokongan dan bantuan dari segi pembelajaran. Kita akan bantunya untuk mengimbangkan pembelajaran dengan kariernya dalam sukan badminton.

“Selain itu, kita juga memberikan asrama secara percuma, biasiswa dan juga beri insentif dari segi peralatan dan sebagainya supaya ia dapat memberi motivasi kepada Zulfadli untuk meningkatkan kariernya ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");