Jenayah

4 lelaki culik Datuk didakwa

KUANTAN: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, di sini, sebentar tadi, terhadap tuduhan menculik seorang pengarah urusan bergelar Datuk di tempat meletak kereta Hotel Seri Manja Boutique, Indera Mahkota, di sini, pada 26 Disember tahun lalu.

Low Sing Hwa, 29, dari Skudai, Johor dan Tham Hock Ann, 36, dari Taiping, Perak, dituduh di Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan menahan Datuk Chin Yoke Choon, 53, bagi mendapat wang tebusan berjumlah RM19 juta dengan melarikan serta mengurungnya secara salah bersama tiga lagi individu yang masih bebas.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Di Mahkamah Sesyen pula, Sing Hwa dan Hock Ann tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan bagi pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang iaitu Geng William pada Januari 2015 sehingga 30 Oktober 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Sementara itu, di mahkamah sama, Choo Jia Lerk, 23, dari Skudai, Johor, dan Liew Chee Hwa, 29, dari Pontian, Johor, masing-masing pula berdepan tuduhan bergaul dengan Geng William tanpa sebab pada April 2015 sehingga 19 November lalu.

Kedua-duanya tidak mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 130Y Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun dan denda.

Hakim Siti Aminah Ghazali tidak membenarkan ikat jamin kerana penahanan semua tertuduh dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan sebutan semula kes pada 24 Januari ini.

Pendakwaan kes dikendalikan Faridz Gohim Abdullah dan Muhamad Asyraf Md Kamal, manakala semua tertuduh diwakili peguam, S Sundarajan.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");