Berita Hari Ini

Dedah fungsi Perkim

KLANG: Satu program seminar dianjurkan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Klang bagi mengukuhkan kefahaman terhadap fungsi dan peranan badan pertubuhan tersebut.

Seminar yang disertai 103 peserta itu juga antara lain dapat memperkenalkan dengan lebih dekat tentang objektif penubuhan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan kepada ahlinya dan orang ramai.

Pengerusi Perkim Cawangan Klang, Hushim Salleh berkata, seminar yang berlangsung selama setengah hari itu lebih kepada pengenalan kepada Perkim dan peranan pertubuhan itu dalam masyarakat.

“Ramai yang keliru fungsi dan peranan Perkim, malah ada dalam kalangan ahli Perkim sendiri juga kurang jelas dengan peranan dan objektif penubuhan Perkim.

“Perkim ditubuhkan bukan sahaja untuk kerja dakwah, malah untuk kerja kebajikan termasuk untuk mereka yang bukan Islam. Kita juga boleh menjadi tempat rujukan bagi saudara baru dan kita akan cuba bantu sebaiknya.

“Selain itu, kita juga sentiasa berperanan membantu pihak-pihak berwajib seperti Jais, Mais dan lain-lain, bezanya pihak-pihak tersebut mempunyai autoriti dan kita NGO,” katanya.

Seminar tersebut diisi dengan dua sesi iaitu slot Pengenalan Kepada Perkim dan Pendekatan Dakwah Melalui Kaunseling, masing-masing disampaikan Ustaz Muhammad Fitri Abdullah dan beliau sendiri.

Selain seminar, antara program lain yang berjaya dianjurkan Perkim Cawangan Klang termasuklah program ‘Street Dakwah’ dan lawatan amal ke hospital.

“Dengan penganjuran seminar ini, kita harap peserta dapat memahami fungsi Perkim dalam masyarakat dan Insya-ALLAH di masa depan kita akan rangka lebih banyak program yang menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");