Sukan Hari Ini

‘Desak Myanmar tarik diri’

Kuala Lumpur: Malaysia sebagai tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 diminta mengusulkan kepada Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) supaya membatalkan penyertaan kontinjen Myanmar ataupun menggesa negara itu menarik diri daripada bertanding pada temasya dwitahunan itu.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Malek Noor berkata, ia sebagai menunjukkan tanda solidariti Malaysia dalam membantah kekejaman berterusan rejim junta tentera terhadap etnik Rohingya beragama Islam di Myanmar.

Menurut Malek, SEAGF perlu memanggil semua ahli gabungannya dan mencapai satu keputusan sebulat suara mengenai pembabitan Myanmar di KL 2017 tatkala isu pencabulan hak asasi manusia semakin serius di negara itu.

“YAKEB menyatakan rasa kecewa terhadap penindasan tidak berkesudahan terhadap etnik Rohingya di Myanmar. Sukan adalah medium penyatu perpaduan, tapi apa gunanya semangat kesukanan jika tiada nilai kemanusiaan dan Malaysia tiada tempat untuk mereka yang tiada nilai kemanusiaan.

“Saya mewakili suara bekas atlet yang pernah menjulang nama negara di pentas sukan tertinggi hingga ke Olimpik meminta SEAGF membuat satu keputusan sama ada batalkan penyertaan atau suruh mereka tarik diri,” kata Malek yang pernah bergelar Mr Asia sebanyak enam kali.

Jelasnya, Malaysia sebagai negara anggota kanan ASEAN tidak boleh membiarkan Myanmar meneruskan polisi menzalimi dan mewujudkan ketegangan agama di negara itu justeru perlu mendahului negara lain dalam menyatakan pendirian.

“Sebagai sebuah negara Islam dan juga tuan rumah temasya Sukan SEA kali ini, ini masanya kita bangkit bersama bagi menyatakan tidak kepada pencabulan hak kemanusiaan. Ini akan mencerminkan sejauh mana komitmen kita sebagai sebuah negara pencinta keamanan,” ujar Malek.

Desakan untuk menggunakan platform sukan bagi menunjukkan tanda sokongan kepada etnik Rohingya bukan sesuatu yang baru malah ia pernah dibangkitkan ketika Myanmar menjadi tuan rumah Sukan SEA 2013 di Nay Pyi Taw tetapi sekadar dipandang sepi.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");