Sukan Hari Ini

Dhaarma umum skuad akhir selepas 9 Januari

KUALA LUMPUR: Pengendali skuad hoki wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah akan menjadikan aksi persahabatan menentang Republik Ireland pada 9 Januari ini sebagai medan memilih 18 pemain terbaik bagi menghadapi Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) di sini, bulan depan.

Aksi pemanas badan bertemu pasukan pasukan ranking ke-16 dunia itu akan berlangsung di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta.

Menurut pengendali berusia 47 tahun itu, setakat ini 15 pemain sudah berlegar dalam fikirannya untuk disenaraikan dengan dia kini hanya ‘pening kepala’ untuk menggugurkan baki lima pelatih kem latihan negara.

“Selepas lima siri persahabatan di New Zealand saya sudah memberitahu semua 23 pemain betapa 15 nama hampir pasti akan disenaraikan termasuk penjaga gol Farah Ayuni Yahya kecuali jika berlaku masalah kecederaan.

“Cuma yang menyukarkan saya ketika ini adalah untuk memutuskan slot penjaga gol kedua dan baki dua tempat terakhir yang ketika ini direbut enam pemain. Setiap hari pemain berusaha keras untuk merebut tempat dalam pasukan.

“Jadi, saya akan menggunakan perlawanan persahabatan menentang Republik Ireland untuk menguji semua pemain sebagai peluang untuk menamakan 18 pemain,” katanya.

Setakat ini, nama Zafirah Aziz, Nurhaslinda Said, Norbaini Hashim, Fatin Naimah Zaki, Nurul Safiqah Mat Isa dan Nor Shafiqah Mohd Zain kemungkinan besar menjadi antara empat pemain terakhir digugurkan.

Posisi penjaga gol kedua pula menyaksikan perebutan antara Mas Huzaimah Md Zain dan Siti Noor Hafiza Zainordin, dengan Farah Ayuni yang kini mempunyai komitmen bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kembali diberi kepercayaan mengemudi benteng terakhir negara.

Pada kempen Pusingan Kedua WHL, Malaysia yang menghuni ranking ke-21 dunia bakal membuka kempen Kumpulan B menentang Hong Kong pada 14 Januari diikuti Ireland (16 Januari) dan melengkapkan jadual kumpulan bertemu Kazakhstan keesokan harinya.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");