Membawang Hari Ini

‘Dina tak lokek ilmu’

Jika sebelum ini penyampai radio ERA FM, Dina Nadzir berkolaborasi dengan Tauke Jambu dan Shahrol Shiro, bermula 1 November lalu dia digandingkan dengan rakan kerja baru, Fad Bocey.

Fad atau nama sebenarnya Muhamad Fadzlie dan Dina mengendalikan segmen #PetangERA setiap Isnin hingga Jumaat.

Selesa bergandingan dengan Fad, Dina mengakui tidak sukar mencari keserasian kerana sudah pernah melihat jejaka itu bersiaran di konti ERA pada hujung minggu.

“Kerana sudah lama bersama radio ERA, saya tidak ada masalah diganding­kan dengan mana-mana penyampai baru.

“Apa yang penting bagi saya adalah mencari keserasian. Memang pada awalnya rasa janggal, tetapi selepas seminggu semua akan okey.

“Fad jelas dengan tugasnya dan tahu arah tuju dalam penyampaian. Dia akan tanya saya jika tidak tahu mengenai sesuatu perkara dan kami saling membantu,” katanya.

Menurut Dina, meskipun kini hanya berdua me­ngendalikan konti, ia bukan masalah besar, sebaliknya urusan kerja menjadi lebih mudah.

“Apabila kerja berdua hala tuju jadi lebih jelas kerana kami nampak peranan masing-masing. Jika mahu bercakap ketika sedang ke udara pun mudah sebab tak perlu berebut,” katanya.

Sementara itu, Fad me­ngakui sudah lama teringin bertugas sebagai penyampai radio.

Berharap dapat bergerak secara serius dalam bidang ini, Fad bersyukur diberi peluang mengendalikan segmen #PetangERA selama dua tahun.

“Syukur impian menjadi penyampai radio akhirnya jadi kenyataan. Jika sebelum ini saya hanya berpeluang ke udara pada hujung minggu, kini sepenuh masa.

“Seronok bekerja dengan Dina kerana dia berpengalaman dan tidak lokek ilmu.

“Saya berharap pendengar dapat menerima kehadiran saya kerana tujuan saya lebih kepada berkongsi maklumat, bukan atas nama pelawak.

“Ketika bertugas, saya menjadi diri sendiri dan bukan pelawak,” katanya.

Masih kekal bersama Bocey, Fad mengakui rakan-rakannya berfikiran terbuka dan tidak pernah menyekat rezeki masing-masing.

Dalam pada itu, Achey turut memeriahkan segmen #PetangERA menerusi slot Prof Achey yang baru diperkenalkan.

Berkongsi perkara itu, Achey mengakui meminati bidang penyiaran radio, namun belum bersedia untuk bergiat secara serius.

“Menerusi slot ini saya akan belajar mendalami dunia penyiaran radio.

“Walaupun slot saya dirakam lebih awal, ada masanya saya akan menyertai Dina dan Fad bagi memeriahkan suasana,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");