Membawang Hari Ini

Eksperimen bunyi ke dalam lagu

SCENE indie tempatan sememangnya hebat dan anda pasti terkejut sekiranya melihat limpahan bakat yang bukan sahaja menggegar industri muzik tempatan, malah mampu bersaing di luar negara.

Bermula band Butterfingers hingga kepada penubuhan Hujan, bakat yang tampil sekitar 1990-an itu memperlihatkan kelebihan setiap ahli muzik, sama ada dalam konteks nyanyian atau persembahan.

Namun, mungkin ada yang terlepas melihat bakat lima anak muda yang dikenali sebagai Komplot.

Allahyarham Azrafe Zaky atau lebih dikenali sebagai Zac, Amrud, Shazrin, Haekal, Enche dan Ahmad menubuhkan band tersebut sekitar awal 2000.

Menariknya mengenai band ini adalah kehebatan mereka mencari bunyi yang sesuai untuk dijadikan muzik kepada lagu mereka.

Memulakan lagu dengan petikan gitar adalah satu perkara biasa yang dilakukan kebanyakan band di seluruh dunia, tetapi tidak dapat memberi mukadimah menarik.

Namun Komplot mampu melakukannya dan lagu-lagu mereka boleh menjadi bukti.

Kebijaksanaan memulakan lagu dengan bunyi dan tempo catchy mencuri tumpuan mereka yang kali pertama mendengar muzik itu.

Untuk membuat intro lagu sedemikian bukannya mudah kerana pemuzik perlu memerah idea supaya intro tersebut mempunyai kesinambungan dengan lagu.

Lagu popular Komplot ialah Nora Zen yang menaikkan nama band tersebut setaraf band indie yang lain.

Mengambil inspirasi daripada filem Nora Zain- Agen 001, lakonan seniwati veteran, Allahyarhamah Datin Saadiah, lagu tersebut boleh dikatakan sangat berbeza berbanding lagu tempatan lain.

Memulakan lagu dengan gesekan biola, flute dan tambahan efek lain membuatkan pendengar asyik menikmati hingga tamat liriknya.

Tidak cukup dengan lagu tersebut, lagu Enter The Kosmos turut menjadi contoh lagu terbaik.

Memasukkan bunyi berelemen disko ke dalam lagu adalah tepat dan kena dengan penceritaan mengenai peredaran manusia ke satu zaman moden.

Keputusan Komplot untuk berpisah penghujung tahun 2000 menjadi satu kehilangan kepada industri muzik yang masih memerlukan idea kreatif mereka.

Diharap, band ini dapat kembali semula ke industri untuk menambah warna serta cita rasa dalam arena muzik.

Al-Fatihah kepada Zac.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");