Jenayah

Getah skrap jadi sasaran pencuri

BALING-Kenaikan harga getah yang melebihi RM 4 ketika ini menyebabkan getah skrap sering menjadi sasaran pencuri.

Penoreh, Omar Hamid, 40, dari Kampung Charok Gorok berkata, 50 kilogram hasil getah skrapnya dicuri pada selasa lalu.

“50 kilogram itu saya kumpul selama lima hari, tetapi dalam sekelip mata hilang dicuri, jika harga getah naik memang selalu jadi macam ini,”katanya.

Menurutnya, kerugian dialaminya akibat kecurian itu dianggarkan berjumlah RM200.

“Bukan senang nak kumpul RM200 dalam masa lima hari, waktu harga getah jatuh memang susah nak dapat harga macam sekarang.

“RM200 itu saya kumpul untuk perbelanjaan keluarga termasuk duit beli barangan persekolahan anak, nak buat macam mana rezeki tiada, anggap sahajalah itu rezeki si pencuri,”katanya .

Omar berkata,sukar untuk ramalkan masa pencuri berkenaan menjalankan kegiatan mereka.

“Tetapi kebiasaannya getah skrap dicuri pada waktu Maghrib dan sebelum Subuh, mereka mencuri secara berkumpulan,”katanya.

Menurutnya, getah skrap yang berketulan besar dan padat menjadi pilihan pencuri.

“Getah skrap yang berketul besar memang pencuri suka, setakat nak usung dalam guni sejauh 10 kilometer pun mereka sanggup.

“Malah, jika harga getah naik lebih RM5, susu getah yang belum beku pun kena curi,”katanya.

Katanya, penoreh terpaksa menghabiskan masa siang dan malam bagi menjaga kebun seandainya mahu memastikan hasil tidak dicuri.

“Tahun-tahun sebelum ini saya mengawasi keadaan di kebun selama sebulan semata-mata untuk pastikan getah skrap selamat, tetapi sampai bila nak tunggu di kebun? Banyak benda lain perlu diuruskan,”katanya.

Pembeli getah berlesan, Abdul Satar Abas, 61, dari Charok Gorok berkata, getah skrap dibelinya akan segera dihantar ke kilang pada hari sama agar tak lesap.

“Jika biar getah skrap di tempat pengumpulan dalam tempoh yang lama, memang berisiko hilang.

Jika tidak hantar ke kilang dan dibiarkan di pusat pengumpulan, kena rajin berjagalah di waktu malam, paling penting hubungan dengan orang kampung kena baik, dengan Izin Allah hasil selamat,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Ismail Abd Hamid,40, dari Kampung Asam Jawa berkata, getah skrapnya sering dijadikan sasaran pencuri.

“Setiap kali harga getah naik memang getah skrap akan dicuri, tahun ini saya alami kerugian lebih RM 300,”katanya.

Katanya, kehilangan 80 kilogram getah skrap Sabtu lalu menyebabkan dia terpaksa melupakan hasrat membeli pakaian persekolahan anak.

“Terpaksa guna baju dan peralatan sekolah yang lama, jika nak beli juga saya terpaksa menunggu hasil getah yang lain.

“Itupun bukan senang nak dapat hasil, jika hujan memang tidak boleh menoreh langsung, beginilah nasib kami, harga turun pun susah harga naik pun sama,”katanya.

Tambahnya, hasil menoreh adalah sumber utama pendapatannya bagi menampung isteri dan dua anaknya berusia lapan dan dua tahun.

Penoreh, Nordin Md Saman, 68, dari Kampung Sungai Tembak B berkata, lima orang penoreh dalam kampung itu termasuknya kehilangan hasil getah skrap akibat dicuri tiga hari lalu.

“Lebih 100 kilogram getah skrap pakcik dicuri, bila ke kebun waktu pagi tengoktengok sudah hilang,”katanya.

Katanya, penoreh yang mengambil upah dan mempunyai bilangan anak ramai akan lebih terbeban.

“Ramai yang hanya harapkan pokok getah sebagai punca pendapatan, lebih kesian apabila ada yang perlu guna duit untuk persekolahan anak tidak lama lagi,”katanya.

Nordin berkata, tiada laporan polis dibuat berhubung kehilangan hasil getah di Kampungnya.

“Pakcik dan yang lain tidak buat laporan polis sebab kami pun tidak tahu siapa yang curi, bukannya boleh main tuduh.

“Suka atau tidak terpaksa menoreh lain untuk dapatkan hasil, walaupun memang rasa kecewa tetapi nak buat apa lagi?,”katanya.

Penoreh, Tamizi Nadzir, dari Kampung Lanai berkata, dia bimbang akan hasil getah skrapnya di kebun setiap kali pulang ke rumah.

“Memang ada rasa bimbang, sebab selalu berlaku kecurian apabila harga getah naik, getah skrap bukannya boleh bawa pulang ke rumah.

“Untuk pastikan hasil getah skrap selamat saya akan lakukan rondaan lebih kerap di kebun, tidak boleh biar begitu sahaja,”katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Baling, Superintendan Shariffuddin Yusof berkata, penoreh dinasihati segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya hasil getah skrap dicuri.

“Memandangkan harga getah naik, penoreh kena lebih berhati-hati, jangan biarkan hasil terlalu lama di dalam kebun,”katanya.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");