Sukan Hari Ini

Mohon campur tangan Sultan

GABUNGAN Kelab Penyokong Selangor mendakwa terdapat ‘orang dalam’ Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berniat mahu menghancurkan skuad Selangor.

Presidennya, Mohd Faizal Wahid berkata, individu berkenaan bersekongkol selain tidak mahu masalah dihadapi The Red Giants ketika ini ditangani segera agar polemik berpanjangan akan memberi kepentingan politik kepada mereka.

Malah, Mohd Faizal turut mendakwa, usaha penswastaan direncanakan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Presiden FAS cuba dihalang dan digagalkan segelintir individu berkenaan.

Sehubungan itu, satu memorandum dihantar gabungan tersebut kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memohon perkenan baginda untuk menyelamatkan bola sepak Selangor.

“Patik dengan rendah diri memohon perkenan Tuanku untuk menitahkan dengan penuh limpah kasih agar Azmin diberi mandat penuh melakukan rombakan dalam kadar paling segera ke atas pentadbiran FAS selain memastikan agar FAS serta kegemilangan Selangor tidak dicemari unsur-unsur politik serta kepentingan peribadi seperti yang berlaku saat ini,” katanya selepas menyerahkan memorandum tersebut di pintu masuk Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, semalam.

Selain itu, gabungan tersebut juga yakin Sultan Sharafuddin mampu mengembalikan kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap Red Giants.

“Patik-patik sekalian yakin hanya Tuanku yang mampu membawa kegemilangan bola sepak Selangor dan mengembalikan kepercayaan pihak korporat di negeri ini yang sebenarnya mampu menjadi penaja perkembangan bola sepak.

“Penaja-penaja ini membisu kerana tidak percayakan barisan Exco FAS mampu mengendalikan persatuan dan pasukan dengan baik,” dakwanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Faizal turut mengesahkan satu flashmob akan diadakan di pekarangan bangunan FAS Kelana Jaya, Selasa ini bagi menunjukkan bantahan terhadap Exco FAS.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");