Membawang Hari Ini

Hafiz dah penat!

Sedar tak sedar, sudah lebih sedekad penyanyi Hafiz Hamidun berkarya dalam industri muzik dan cukup sinonim dengan lagu ketuhanan dan berkonsepkan zikir.

Terbaru, penyanyi berusia 32 tahun ini mengakui sudah penat untuk menghasilkan album dan menjelang April tahun depan, dia akan tampil dengan album terakhirnya.

“Saya rancang menjadikan album itu sebagai album terakhir saya. Bukan apa, sebenarnya saya sudah penat untuk menghasilkan album tatkala semua orang sibuk keluarkan single.

“Namun, itu tak bermakna saya akan berhenti menyanyi. Saya akan teruskan kerjaya nyanyian, cuma untuk hasilkan album, mungkin tidak kerana fokus saya akan lebih banyak kepada single,” katanya.

Menurut Hafiz, dia sendiri turut mengakui keputusannya itu adalah berdasarkan rentak industri muzik pada hari ini.

“Mungkin ramai tak tahu, tahun ini saja, penjualan album saya kurang memberangsangkan. Kalau dulu, dalam sebulan saya mampu menjual sekurang-kurangnya 20,000 unit album.

“Sekarang, nak jual sikit pun tak semudah dulu. Mujurlah saya banyak dijemput untuk menjayakan beberapa acara seperti motivasi dan sebagainya di universiti dan sedikit sebanyak, itu membantu penjualan,” katanya.

Ditanya mengenai album terakhirnya itu yang menelan kos AS50,000 (RM223,975), Hafiz berkata, ia dihasilkan di Turki dan Mesir serta memuatkan 14 lagu termasuk single terbaru berjudul Yang Dinanti.

“Proses untuk hasilkan album ini memakan masa yang agak lama. Sepatutnya, saya keluarkan album ini pada tahun ini, tetapi atas beberapa sebab ia ditunda ke tahun depan.

“Menariknya, album ini masih berteraskan zikir, tetapi akan turut dimuatkan beberapa versi untuk lagu Yang Dinanti dalam bahasa Malaysia, Inggeris dan Arab,” katanya.

Terbaru, Hafiz bakal bergabung dengan kumpulan nasyid yang pernah dianggotainya dalam Konsert Reunion UNIC.

“Tahun depan, UNIC sudah berusia 15 tahun dan rasanya itu masa yang sesuai untuk mengadakan konsert,” katanya.

Menurut Hafiz, konsert yang akan ditaja oleh syarikatnya Arteffects International itu juga bakal mengumpulkan semula semua anggota yang pernah menganggotai UNIC sejak awal kemunculan mereka.

“Kalau dikumpulkan, ada 10 anggota semuanya dan kami akan mempersembahkan lagu popular UNIC dari dulu hingga yang terbaru. Selain itu, kami juga akan berkongsi cerita belakang tabir yang tak pernah diketahui peminat sebelum ini,” katanya.

Terbaru, Hafiz juga muncul dengan jenama pakaian lelakinya sendiri iaitu Haje.

“Ini adalah produk terbaru saya. Buat masa sekarang, rangkaian jenama Haje menampilkan koleksi kurta untuk lelaki. Insya-Allah, jika semuanya berjalan lancar, menjelang Ramadan dan Syawal tahun depan, kami akan keluarkan koleksi jubah dan baju Melayu.

“Pada penghujung tahun depan pula, berkemungkinan besar, Haje akan keluarkan koleksi pakaian untuk pelajar sekolah,” katanya.

-Harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");