Isu Panas

Hayati Prinsip Rukun Negara – Presiden MIC

SEREMBAN: Setiap lapisan masyarakat di negara ini perlu menghayati prinsip Rukun Negara, iaitu asas kepada kehidupan bermasyarakat harmoni dalam negara yang mempunyai kepelbagaian dari aspek agama, bangsa, kaum, bahasa dan budaya.

Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata walaupun Rukun Negara dibentuk 46 tahun yang lalu, ia masih kekal relevan sebagai asas penyelesaian kepada pelbagai isu yang timbul di kalangan masyarakat hari ini.

Beliau berkata di dalam negara ini sekarang, terdapat pelbagai perbincangan berkaitan isu yang berlaku dan satu daripada jalan terbaik adalah untuk kembali kepada semangat Rukun Negara.

“Rukun Negara dilahirkan pada saat yang susah untuk negara iaitu selepas peristiwa 13 Mei 1969. Ketika itu, tokoh dan pemimpin negara berpendapat bahawa mungkin ini (Rukun Negara) akan menjadi penyelesaian membawa masyarakat bersama dan menyatupadukan mereka,” katanya kepada Bernama di sini, Sabtu malam.

Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, bercakap demikian selepas merasmikan Jamuan Malam dan Kebudayaan 1Malaysia, yang turut dihadiri Pengerusi MIC Negeri Sembilan Datuk L.Manickam.

Mengulas lanjut, beliau berkata prinsip yang terdapat dalam Rukun Negara telah banyak membantu menyelesaikan pelbagai isu di dalam negara serta memastikan negara sentiasa aman dan damai.

“Oleh itu, kita juga telah menerima hakikat bahawa Malaysia rakyatnya terdiri daripada masyarakat berbeza dan kepercayaan berbeza tetapi hidup dalam aman dan damai melalui sifat hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.

Prinsip Rukun Negara diisytiharkan oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin pada 31 Ogos 1970.

Antara objektif Rukun Negara adalah untuk mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakat, mencipta satu masyarakat yang adil supaya kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Lima prinsip Rukun Negara adalah Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang dan Kesopanan dan Kesusilaan. – BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");