Membawang Hari Ini

Hubungan cinta 4 tahun putus, Mawar Rashid selesa solo

KUALA LUMPUR: Bakat baharu, Mawar Rashid, 21, selesa bersendirian dan tak mahu terlalu serius memikirkan persoalan mengenai cinta selepas hubungan empat tahun yang disemai putus di pertengahan jalan.

Mawar atau nama lengkapnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid juga tidak mahu berterusan meratapi kegagalan kisah cintanya, sebaliknya ingin memberikan sepenuh fokus kepada kerjaya seni bagi membantu keluarganya.

“Alhamdulillah, saya semakin selesa bersendirian kerana mempunyai kebebasan untuk bekerja keras sebagai anak seni. Saya mempunyai lebih banyak waktu untuk diluangkan bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan berbanding dulu.

“Mungkin juga saya masih muda dan sukar membahagikan masa melakukan pelbagai perkara serentak. Lebih baik saya hanya tumpukan perhatian kepada kerjaya buat sementara waktu. Selain lakonan, saya turut berkecimpung dalam bidang perniagaan sebagai persediaan masa depan.

“Tipu jika saya katakan tidak terkenang bekas kekasih kerana banyak memori yang kami lalui bersama, namun pengalaman lalu mematangkan saya. Ruang bersendirian ini juga saya jadikan untuk memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih baik,” katanya kepada BH Online.

Mengulas perkembangan kerjayanya, bekas finalis Dewi Remaja itu bakal menghiasi kaca televisyen menerusi drama rantaian berjudul Aurora Aisyah siaran RTM.

Drama bersiri arahan Raja Alauddin itu menjalani penggambaran selama 12 hari di China turut menampilkan Syafie Naswip, Esma Daniel, Erwin Dawson dan ramai lagi.

“Drama terbaharu ini banyak mematangkan saya dari segi lakonan kerana saya diberikan tanggungjawab untuk menjayakan watak sebagai wanita yang berhadapan pelbagai konflik kehidupan. Hati turut tersentuh kerana watak ini berkisar kepada isu kekeluargaan yang begitu dekat di hati,” kata Mawar.

Selain drama bersiri Aurora Aisyah sebagai buah tangan pembuka tahun 2017, Mawar turut membintangi Suamiku Paling Sweet bersama aktor, Fahrin Ahmad untuk saluran TV3.

Mawar sebelum ini, pernah dihentam teruk oleh golongan netizen (pengguna sosial media) apabila menyifatkan pelakon muda itu tidak cerdik kerana tidak tahu perkembangan semasa ketika mengulas mengenai pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Mawar membolosi industri hiburan selepas memenangi kategori Dewi Kegemaran yang ditentukan sepenuhnya melalui undian peminat pada final Dewi Remaja 2014/2015, manakala Raysha Rizrose dinobatkan sebagai Dewi Remaja.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");