Membawang Hari Ini

Ikhwan pilih bersederhana

Hanya tinggal dua minggu lagi buat penyampai Kool FM, Ikhwan menikmati hidup sebagai orang bujang.

Tanggal 7 Januari 2017 ini, Ikhwan atau nama sebenarnya Mohd Khairul Ikhwan Rosli, 33, akan bergelar suami kepada Nor Hidayu Shari, 32.

Bercerita mengenai persiapan majlis bersejarah itu, Ikhwan berkata, ia akan berlangsung dalam suasana sederhana dan sekadar menepati hukum syarak.

“Saya pilih untuk buat majlis akad nikah terlebih dahulu membabitkan ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat karib.

“Biarlah saya selesaikan apa yang perlu terlebih dahulu. Insya-Allah sekiranya ada rezeki, saya akan mengadakan majlis resepsi pula.

“Meskipun majlis saya nanti sederhana sahaja, saya mahu ia meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir,” katanya.

Ikhwan yang pernah dua kali putus tunang pada 2007 dan 2014 jatuh cinta dengan Ayu yang berstatus ibu tunggal beranak satu sejak sembilan bulan lalu.

Yakin Ayu pilihan tepat buat dirinya, Ikhwan nekad melamar kakitangan Media Prima Berhad itu.

“Kami dah lama kenal kerana bekerja di bawah satu bumbung dan selalu berbual tapi tak pernah terfikir untuk berkawan rapat. Siapa sangka, rupa-rupanya dialah jodoh saya.

“Saya pun tak kisah dengan status Ayu kerana apa sahaja yang berlaku dalam kisah silamnya adalah sebahagian daripada proses kehidupan.

“Bahkan saya gembira kerana dikurniakan anak lelaki ‘segera’ berusia 7 tahun dan dapat berkongsi kasih sayang dengannya.

“Lebih menarik, kami ada minat yang sama iaitu gemar bermain permainan video dan melakukan aktiviti lasak.

Kami boleh jadi kawan rapat,” katanya.

Menurutnya, dengan restu keluarga, proses penyatuan dua hati di antaranya dan Ayu menjadi mudah.

“Ayu awalnya bimbang keluarga saya tidak dapat menerimanya. Syukur, keluarga saya sangat memahami dan langsung tiada masalah untuk menerimanya.

“Akhirnya pada 11 Disember lalu, keluarga saya bertandang ke rumah keluarga Ayu di Setiawangsa untuk merisik.

“Saya memberikan sebentuk cincin tanda pengikat kasih kami berdua. Tiada majlis bertunang kerana kami mahukan sebuah majlis yang ringkas dan santai,” katanya.

Ikhwan yang kini sedang bercuti bagi menyelesaikan urusan dokumen majlis pernikahannya menyambut dengan tangan terbuka sekiranya mana-mana pihak sudi menaja majlis resepsinya.

“Saya tak menolak rezeki. Orang nak membantu takkanlah saya tak sudi pula,” katanya jujur.

Hilang rakan gandingan

Dalam pada itu, Ikhwan yang akan kembali bertugas pada 2 Januari nanti mengakui terkejut dengan pengunduran Farid yang menjadi gandingannya dalam program Petang Kool dari jam 3 hingga 7 malam.

“Kami mula digandingkan sejak Kool diwujudkan pada Mac lalu. Farid asalnya bertugas di Hot FM Kelantan sebelum berhijrah ke sini.

“Boleh dikatakan kami tiada masalah dan semakin serasi. Mungkin dia ada perancangan sendiri dan kita perlu menghormati keputusannya.

“Saya tetap akan bertugas seperti biasa biar pun berseorangan selepas ini dan akan menyerahkan keputusan selanjutnya kepada pengurusan,” katanya.

Ikhwan mengakui gembira berada di Kool FM kerana stesen ini semakin diterima baik pendengar.

“Kool FM sudah boleh didengari di utara Pulau Pinang, utara Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Lembah Klang. Dengan hanya lima frekuensi ia berjaya menarik pendengar yang ramai.

“Saya rasa ini penjenamaan yang baik buat saya untuk kekal berada dalam bidang penyampaian. Banyak idea baru boleh diketengahkan.

“Sekiranya masih kekal di tempat lama, pemikiran saya mungkin di takuk lama. Kool FM juga antara stesen pertama yang menggunakan teknologi terkini dalam penyiaran,” katanya.

Ikhwan kini melebarkan bakatnya dalam bidang nyanyian apabila berduet dengan Didi Astilah menerusi lagu Percaya.

“Lagu berentak hip hop ciptaan Jamil Said dan Ayad Sakhti serta lirik Nawhki ini mendapat tempat di hati pendengar.

“Ia kerap dimainkan di Hot FM dan saya berharap diterima baik dalam medium streaming. Video muziknya juga sudah ada di YouTube.

“Insya-Allah selepas ini saya akan bekerjasama dengan seorang penyanyi lelaki popular pula,” katanya.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");