Membawang Hari Ini

Janji Fawad pada isteri

Isteri mana tidak cemburu melihat suami dikelilingi peminat wanita yang tentunya ada pelbagai ragam dan gaya? Itulah dirasai isteri aktor kelahiran Karachi, Pakistan, Fawad Khan, 35, yang kini mencipta nama di Bollywood.

Fawad bagaimanapun berjanji kepada isterinya, Sadaf Khan yang cintanya hanya untuk wanita itu.

Mereka bertemu ketika Fawad berusia 16 tahun dan berkahwin pada 12 November 2005 selepas lapan tahun bercinta. Kini mereka dikurniakan sepasang cahaya mata Ayaan dan Elayna.

“Sadaf ada bersama saya kala susah dan senang. Saya faham perasaan Sadaf dan siapa pun akan rasa tidak senang hati jika suaminya menjadi perhatian wanita lain. Ketika keluar bersama pun saya akan dikerumuni peminat namun Sadaf sudah menjangkakan situasi ini apabila saya memilih kerjaya ini.

“Bagaimanapun, sebagai suami saya akan pastikan ‘gangguan’ ini tidak menggugat keharmonian rumah tangga kami.

“Kalau berada di tempat Sadaf, mungkin saya akan jadi lebih sensitif berbanding dia,” katanya.

Dalam satu wawancara di India, Sadaf memberitahu dia gembira apabila ramai wanita mencemburuinya kerana bersuamikan Fawad.

“Dia adalah cinta, teman hidup, rakan baik dan segala-galanya bagi saya,” katanya yang setia menyokong kerjaya suaminya.

Rabu lalu Fawad menyambut ulang tahunnya yang ke-35. Dia yang mula mencipta nama di Bollywood dua tahun lalu menerusi filem Khoobsurat pernah melalui saat getif apabila dihalau pulang ke Pakistan berikutan ketegangan hubungan India dan Pakistan.

Namun sudah tertulis rezekinya di Bollywood apabila ramai penggiat seni melindunginya ketika itu yang bakal muncul dengan filem Ae Dil Hai Mushkil.

Sebelum terkenal di Bollywood, dia menjadi kegilaan ramai di negara sendiri. Bukan cemerlang sebagai pelakon malah dia turut mengecapi populariti dalam bidang nyanyian.

Fawad pernah menjadi vokalis Entity Paradigm yang memperjuangkan muzik rock alternatif berpangkalan di Lahore tetapi kini band itu sudah dibubarkan.

Pada awal kemunculan, Fawad tampil sebagai pelakon pembantu dalam filem Khuda Kay Liye (2007) dan mula digilai apabila membintangi drama Dastaan (2010), Humsafar (2011) dan Zindagi Gulzar Hai (2012).

Fawad terhutang budi dengan aktres Sonam Kapoor yang memperkenal namanya di Bollywood. Sonam juga pernah bergandingan dengannya dalam filem Khoobsurat yang melayakkan dirinya dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Baru Terbaik.

Kehadirannya semakin di terima di Bollywood. Buktinya, jika tahun lalu Sonam bergegas pulang dari satu majlis anugerah untuk meraihkan hari jadi Fawad di kediamannya di Juhu, tahun ini aktor kacak ini dihujani ucapan panjang umur daripada ramai rakan artis Bollywood dan Pakistan.

Nampaknya ketegangan India dan Pakistan langsung tidak menjejaskan karier dan hubungan baik Fawad dan rakan artis lain.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");