Berita Hari Ini

Rohingya: Campur tangan Malaysia atas dasar kemanusiaan

PUTRAJAYA: Malaysia membenarkan perhimpunan aman di ibu negara bagi membela masyarakat Rohingya di Myanmar hanya kerana prihatin ia mungkin menjejaskan keselamatan di Malaysia selaku negara jiran sekiranya tidak ditangani segera.

Kementerian Luar, dalam satu kenyataan hari ini, menyebut perhimpunan aman di hadapan Kedutaan Myanmar di Malaysia minggu lalu, adalah atas dasar tanggungjawab Malaysia sebagai rakan dalam ASEAN bagi memastikan Myanmar mengambil langkah sewajarnya menangani krisis dihadapi.

“ASEAN berpaksikan kepada dasar bahawa 10 negara anggotanya, pada tahun 2008, menerima pakai piagam ASEAN, yang mengikat negara anggota kepada dasar antarabangsa mengenai perlindungan dan menggalakkan hak asasi manusia.

“Tambahan pula, semua anggota ASEAN bersetuju, selaras dasar keselamatan menyeluruh terhadap ancaman yang wujud akibat isu Rohingya kepada keselamatan Malaysia.

“Sejumlah besar pelarian Rohingya di Malaysia, kira-kira 56,000 orang di bawah naungan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) selain ribuan lagi di negara jiran, bukan lagi masalah dalaman Myanmar, sebaliknya menjadi isu antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Penjelasan Kementerian Luar itu susulan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Pejabat Presiden Myanmar, U Zaw Htay, dalam akhbar Myanmar Times baru-baru ini supaya Malaysia menghormati dasar ASEAN dan tidak mencampuri urusan dalaman negara lain.

Beliau merujuk khusus kepada kenyataan dikeluarkan pejabat Perdana Menteri, mendakwa bahawa Datuk Seri Najib Razak bersetuju menyertai bantahan bagi mengecam operasi ketenteraan di wilayah Rakhine di Myanmar sekarang, di lokasi yang belum ditentukan.

Kenyataan Kementerian Luar turut menekankan hakikat bahawa, hanya satu kumpulan tertentu menjadi sasaran, sekali gus membuktikan operasi dijalankan adalah penghapusan etnik.

“Amalan ini mesti dihentikan segera demi keselamatan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara. U Zaw Htay tidak boleh lupakan krisis pelarian pada tahun 2015 dari negaranya yang seterusnya menjadi isu serantau di mana negara jiran terpaksa menanggung bebannya.

“Hanya atas kesedaran ini Malaysia berulang kali menawarkan bantuan kepada kerajaan Myanmar untuk mencari jalan penyelesaian yang adil lagi saksama bagi mengakhiri penindasan masyarakat Rohingya di utara Rakhine dari segi kemanusiaan, bukan keagamaan,” kata kenyataan itu.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");