Sukan Hari Ini

JRH sahut seruan TMJ

Kuala Lumpur: Biarpun baru ditubuhkan Mac lalu, JRH Diamond Football Club sudah mengukir nama selaku pasukan digeruni dan dihormati lawan apabila mara ke suku akhir Liga Bangsa Johor 2016 berdepan HWFC, hujung minggu ini.

Sekalipun masih hijau, kelab itu yang diperkuatkan bekas pemain Johor Darul Ta’zim II Shamsol Hadi mempamerkan persembahan konsisten apabila menang semua enam perlawanan tanpa dibolosi dalam saingan disertai semua pasukan seluruh Johor.

Malah agak menarik apabila kelab yang berpangkalan di Pasir Gudang itu diterajui seorang wanita yang amat meminati bola sepak.

Jariah Dani (gambar), seorang ahli perniagaan berjaya terpanggil untuk menyahut seruan dan harapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk memperkayakan bola sepak negeri itu.

“Saya memang meminati bola sepak dan sentiasa mengikuti perlawanan Liga M membabitkan Johor DT dan Johor DT 11. Sebagai anak Johor, saya rasa bertanggungjawab untuk sama-sama merealisasikan impian Tunku Ismail menjadikan Johor sebagai gergasi bola sepak bukan saja dalam Liga M tapi juga Asia.

“Malah saya bangga nama Johor DT kini dikenali bukan saja di Asia malah di Eropah hasil inisiatif Tunku Ismail menjalinkan kerjasama dengan kelab gergasi Jerman, Borussia Dortmund,” katanya.

Kerana faktor itu Jariah, 46, bertekad mengasaskan kelab JRH Diamond untuk sama-sama membantu menggilap serta mengetengahkan bakat anak muda Johor selain memeriahkan perkembangan bola sepak negeri.

“Biarpun bola sepak dipimpin orang lelaki, saya percaya wanita juga boleh jika memiliki minat, semangat dan keinginan. Saya yakin saya boleh melakukannya.

“Menjadi harapan saya satu hari nanti ada pemain dari kelab ini dapat menyarung jersi Johor DT seterusnya berjaya mewakili negara di peringkat antarabangsa,” katanya.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");