Sukan Hari Ini

‘Kami memang berhak ke sana’

Kuala Lumpur: Misi buktikan Malaysia sememangnya berhak ke Piala Dunia Remaja.

Demikian pandangan pemain pertahanan negara Muhammad Najib Abu Hassan selepas Malaysia menerima tawaran untuk beraksi pada saingan berprestij yang berlangsung di Lucknow, India dari 8 hingga 18 Disember ini.

Najib yang menjadi kapten ketika skuad negara yang diberi nama Projek 2016 gagal pada kempen kelayakan Piala Remaja Asia hujung tahun lalu berkata, peluang itu tidak boleh disia-siakan begitu saja.

“Bagi saya kami kena ambil peluang ini sebaik mungkin. Bermakna kami pergi ke sana bukan sekadar pasukan pelengkap jadual.

“Saya sudah beritahu rakan sepasukan inilah masanya untuk buktikan bahawa Malaysia sememangnya berhak beraksi di Piala Dunia,” katanya.

Jelas Najib, persiapan skuad negara sememangnya tidak mencukupi namun dia berpendapat pengalaman beraksi di beberapa kejohanan utama sebelum ini diharap sedikit sebanyak dapat membantunya serta rakan sepasukan di Lucknow.

“Yang penting sekarang ialah kami perlu mendapatkan keserasian yang cepat,” katanya.

Pada saingan Piala Remaja Asia di Kuantan tahun lalu, skuad negara yang ketika itu di bawah bimbingan Arul Selvaraj diramal tidak berdepan masalah untuk meraih tiket beraksi pada Piala Dunia Remaja.

Namun, sebaliknya berlaku apabila skuad negara sekadar menamatkan saingan di tempat kelima sekali gus gagal layak secara merit kerana hanya empat pasukan teratas saja terpilih untuk beraksi di Lucknow.

Bagaimanapun kelmarin, Persekutuan Hoki Dunia (FIH) menawarkan tempat untuk skuad negara selepas badan induk itu menarik semula penyertaan Pakistan yang layak secara merit kerana gagal memenuhi kriteria ditetapkan.

Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kemudian menerusi reaksi segera menerima tawaran FIH.-harian metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");