Berita Hari Ini

Kastam sasar kutip tambahan GST lebih RM3b

JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yakin mampu mengutip tambahan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) lebih RM3 bilion pada tahun 2017.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk T Subromaniam, berkata sasaran itu ditetapkan pihaknya menerusi Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) 2017 berteraskan pematuhan melalui pendidikan.

“Jika sebelum ini Ops CBOS bertumpu pada aspek penguatkuasaan, bagi 2017 kita menggunakan pendekatan baharu iaitu lebih mesra pelanggan menerusi pematuhan melalui pendidikan.

“Menerusi pendekatan ini, kita akan memberi tunjuk ajar kepada peniaga yang masih kurang faham atau keliru mengenai GST sejak diperkenalkan pada April 2015,” katanya.

Subromaniam berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran Ops CBOS 2017 di Menara Kastam Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan peniaga adalah tidak mengemukakan penyata GST, mengemukakan penyata tanpa bayaran dan ada yang membayar jumlah kurang daripada sepatutnya.

Katanya, menerusi Ops CBOS yang dilancarkan sejak September lalu, pihaknya berjaya mengutip tambahan GST berjumlah RM1 bilion.

“Ini adalah hasil lawatan pasukan kita ke 20,000 premis berdaftar GST dan kebanyakan mereka tidak mengemukakan bayaran dan penyata,” katanya.

Subromaniam berkata, menerusi Ops CBOS 2017, pihaknya merancang mengadakan lawatan ke 200,000 premis daripada 430,000 yang mendaftar GST.

“Menerusi Ops CBOS itu juga, kita akan memberi fokus kepada lima kategori iaitu pengusaha restoran, peruncit, kontraktor binaan, kedai peralatan logam dan pusat hiburan,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");