Jenayah

Letupan kuat di kedai dobi

BESUT – Pelanggan sebuah kedai dobi layan diri bertempiaran lari menyelamatkan diri apabila berlaku letupan disusuli kebakaran di premis tersebut yang terletak di satu bangunan kedai empat pintu, di sini, pagi semalam.

Kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu berlaku ketika beberapa pelanggan sedang mengeringkan pakaian masing-masing di kedai yang beroperasi 24 jam itu.

Saksi, Wan Mastizean Maizura Wan Ahmad, 19, berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang menggoreng ayam di kedai yang terletak bersebelahan kedai dobi itu.

Menurutnya, dia bersama rakannya dikejutkan dengan bunyi letupan kuat di kedai itu.

“Saya dan rakan bergegas keluar ke depan kedai dan melihat pelanggan kedai dobi berlari keluar dari kedai tersebut disusuli dengan asap tebal dari dalam premis itu,” katanya.

Wan Mastizean berkata, dia juga keluar menyelamatkan diri kerana bimbang berlaku letupan susulan atau kebakaran merebak ke kedai sebelah.

Sementara itu pemilik kedai dobi tersebut, Shariduddin Mohamad, 34, berkata, pihaknya menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kebakaran berpunca kerana mesin pengering terlalu panas akibat beroperasi berterusan pada musim hujan sekarang.

Menurutnya, dia akui pada musim hujan, kedatangan pelanggan untuk mengering pakaian mereka hampir tidak putus namun kebakaran bukan disebabkan masalah itu.

“Mesin pengering tersebut direka untuk tugas berat dan mampu beroperasi secara berterusan untuk tempoh lama namun kebakaran dipercayai kemungkinan faktor ada masalah paip gas yang menghubungkan ke mesin tersebut mengalami kebocoran,” katanya yang beroperasi di situ sejak setahun lalu.

Sharuddin berkata lagi, kebakaran itu menyebabkan empat unit mesin pengering dan beberapa unit mesin basuh di premis tersebut musnah dan kerugian dianggarkan RM200,000.

“Punca sebenarnya saya serahkan kepada pihak bomba untuk menyiasat namun diakui kebakaran bermula di kawasan mesin pengering malah sehari sebelum kebakaran (kelmarin) ada kerja paip gas di bahagian tersebut,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut, Mohd Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian tersebut kira-kira jam 10.34 pagi.

Menurutnya, sebanyak dua buah jentera bomba termasuk sebuah bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Jertih dikejarkan ke tempat kejadian yang membabitkan 13 anggota.

“Kebakaran melibatkan satu pintu iaitu kedai dobi terbakar 40 peratus di bangunan sederet empat pintu.

“Api berjaya dikawal dan tak merebak ke kedai bersebelahan sebelum berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Mohd Zailani berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan serta pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia ke lokasi membuat siasatan.

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");