Berita Hari Ini

LRT, bas RapidKL lanjut operasi pada malam Tahun Baharu 2017

Kuala Lumpur: Rapid Rail Sdn Bhd dan Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali sistem rel transit dan bas Rapid KL akan melanjutkan waktu perkhidmatan sempena ambang Tahun Baharu 2017 bagi memenuhi keperluan orang ramai yang akan menghadiri sambutan itu.

Ketua Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, syarikat induk pengendali perkhidmatan itu, Lim Jin Aun berkata, perkhidmatan sistem rel LRT, MRT dan Monorel akan dilanjutkan sehingga jam 2 pagi bagi stesen terpilih bersama 11 laluan bas Rapid KL.

“Stesen yang akan dibuka sehingga jam 2 pagi ialah Stesen Masjid Jamek dan KLCC bagi LRT Laluan Kelana Jaya. Bagi LRT Laluan Ampang dan Sri Petaling, Stesen Masjid Jamek akan beroperasi sehingga jam 2 pagi manakala waktu operasi Stesen Bandaraya dan Stesen Hang Tuah akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam.

“Dua stesen di laluan Monorel akan dilanjutkan perkhidmatan iaitu Stesen Hang Tuah sehingga 12.30 tengah malam dan Bukit Nanas sehingga jam 2 pagi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Beliau berkata, perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang turut dilanjutkan sehingga jam 2 pagi di stesen Mutiara Damansara dan Bandar Utama.

Selain itu katanya, perkhidmatan bas pengantara yang menghubungkan stesen terbabit turut dilanjutkan waktu operasi iaitu laluan T809 (Damansara Perdana ke Stesen MRT Mutiara Damansara) dan bas ulang-alik antara One Utama ke Stesen MRT Bandar Utama.

“Sementara itu, perkhidmatan bas BRT Laluan Sunway dan bas henti-henti Rapid KL turut dilanjutkan selama 30 minit selepas berakhirnya perkhidmatan tren membabitkan stesen BRT USJ 7 yang dilanjutkan operasi sehingga jam 2.30 pagi.

“Walaupun pintu masuk di stesen lain ditutup seperti jadual biasa, pengguna perkhidmatan MRT, LRT, Monorel dan BRT masih boleh keluar dari mana-mana stesen sehingga jam 2 pagi untuk meneruskan perjalanan,” katanya.

Menurutnya, laluan bas Rapid KL yang akan terbabit dengan lanjutan operasi ialah 751 (Taman Sri Muda – HAB Pasar Seni), 781 (Taman Medan – HAB Pasar Seni), 772 (Subang Suria – HAB Pasar Seni), 780 (Kota Damansara – HAB Pasar Seni), 300 (Pandan Mewah – HAB Munshi Abdullah), 640 (Taman Sentosa – HAB Pasar Seni), 450 (Terminal Kajang – HAB Lebuh Pudu), 220 (Taman Melawati – HAB Munshi Abdullah), 180 (Taman Dato Senu – HAB Pasar Seni), 173 (Taman Jasa Utama – HAB Medan Pasar HL) dan 600 (Puchong Utama – HAB Pasar Seni).

“Kami menyarankan warga ibu kota menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam pada hari itu untuk mengelak daripada kesesakan lalu lintas terutama berdekatan kawasan yang akan menganjurkan acara dan pertunjukan untuk menyambut ambang Tahun Baharu.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyambut ambang Tahun Baharu secara berhemah dan menjaga keselamatan masing-masing sepanjang menghadiri sambutan,” katanya.

Katanya, untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Twitter dan Facebook MyRapidKL atau melayari laman web www.myrapid.com.my.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");