Isu Panas

Macam nak PRU14 esok!

*SEMUA semakin ghairah bercakap mengenai PRU14. PKR nampaknya terbuka dalam hal pembahagian kerusi dengan rakan-rakan dalam Pakatan Harapan termasuk memberi laluan kepada Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Kata Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perkara itu merupakan salah satu bentuk kerjasama dalam Pakatan Harapan, melalui rundingan untuk mencapai persefahaman.

“Dulu kita pun tak ada kerusi, kita dapat kerusi dari DAP dan Pas…jika mereka tak bagi pada 1999, kita tak akan ada di sini pada hari ini,” kata beliau seperti dipetik media.

Apakah rakan-rakan lain dalam Harapan sedia mengorbankan kerusi yang dimiliki untuk orang lain?

*MOHAMAD Sabu pula kata, sesiapa sahaja boleh bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya sebaik sahaja Parlimen dibubarkan.

Kata Presiden Amanah itu, tidak timbul istilah kerusi Pas, sebab tidak ada pihak mempunyai hak mutlak ke atas mana-mana kerusi. Rakan dalam Harapan bebas bertanding mana-mana kerusi berdasarkan persetujuan.

Tegas Mat Sabu, siapa pun boleh bertanding, termasuk kerusi Pekan (milik Perdana Menteri selaku Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak).

Agak-agak siapa calon yang akan menjadi ayam sabung melawan Najib di Pekan?

*DALAM pada itu, Pas menegaskan kerusinya tidak boleh diusik. Parti itu akan bertanding dan mempertahankan mana-mana kerusi – Dun dan Parlimen – yang dimiliki sekarang.

Kata Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, strategi pembangkang untuk satu lawan satu dengan BN boleh dibuat tetapi dengan syarat kerusi Pas tidak diusik.

Beliau berkata, parti pembangkang lain boleh berbincang untuk bertanding di kerusi-kerusi lain, “tetapi jangan usik kerusi Pas.”

Macam mana pembangkang hendak merealisasikan strategi menumbangkan BN sekiranya awal-awal sudah jelas tidak sepakat?

*APA pun Pas menegaskan parti Islam itu masih berada dalam grup pembangkang, dan tidak akan bekerjasama dengan Umno.

Naib Presidennya Idris Ahmad menolak dakwaan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali bahawa Pas dan Umno berkemungkinan bekerjasama bagi mewujudkan kerajaan campuran pada PRU14.

Katanya, cakap Ibrahim tidak boleh pakai sebab dia bukan Pas atau pun Umno. “Sebelum dia (Ibrahim) nak cakap begitu, dia kena tentukan dulu dia daripada parti mana?”

Apa komen Tok Yem selepas ini?

*MASIH mengenai Pas, ada tohmahan pihak lawan kononnya parti tersebut tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan BN pada pilihan raya umum nanti.

Kata yang empunya cerita sikap Pas itu adalah gara-gara telah menerima dan termakan dedak tertentu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak melatah atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan fakta.

“Pas akan tetap terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam kerajaan BN,” tegasnya.

Siapa agaknya yang akan melatah selepas ini?

*AIR punya cerita. Mula-mula Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos bercukin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam sebagai memprotes isu gangguan bekalan air.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu ingin menumpang mandi di pejabat Menteri Besar. Dia bagaimanapun pulang tidak mandi sebab dihalang masuk.

Kemudian Syarul Ema Rena Abu @ ‘Ratu Naga’ pula datang ke rumah Jamal di Ampang, membawa sebotol air untuk memandikan ketua kumpulan baju merah itu.

Akibatnya bukan Jamal yang mandi, tetapi sang Naga yang dimandikan oleh penyokong Jamal, bukan dengan air dalam botol yang dibawanya, tetapi dengan air longkang dan air najis.

Nasib baik catuan air di Selangor hanya sementara, kalau tidak pasti banyak lagi lakonan dan cerita kelakar yang dapat kita tonton.

*AKHIR kalam, kira-kira 24 jam selepas bercukin dan gagal mandi di pejabat menteri besar, Jamal menerima kejutan lain. ‘Sekincan Fisherman Village Hotel & Resort’ miliknya disita oleh penguat kuasa Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB).

Jamal menganggap tindakan sita itu adalah arahan daripada kerajaan negeri yang tidak berpuas hati dengan tindakannya memprotes isu gangguan bekalan air.

MDSB memberitahu tindakan sita itu tiada kaitan dengan perbuatan Jamal bercukin, tetapi kerana resort berkenaan beroperasi tanpa lesen. Kenapa macam tu?

-Sinar Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");