Jenayah

‘Mujur bomba tiba cepat’

Seremban: “Saya nampak kepulan asap keluar dari kilang pembuatan peralatan permainan kanak-kanak lalu berlari memaklumkan kepada pengawal keselamatan bertugas di premis itu,” kata M Selvaraj, 35, saksi kebakaran kilang berkenaan di Kawasan Industri Tuanku Jaafar, di sini, hari ini

Dia yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di kawasan pencawang elektrik berhampiran menyedari kejadian itu, kira-kira jam 2.30 petang.

Menurutnya, pada awalnya hanya kepulan asap kecil kelihatan sebelum semakin tebal dan kelihatan api marak ke seluruh kawasan kilang berkenaan.

“Pengawal keselamatan itu kemudian segera menghubungi bomba. Mujur pasukan bomba tiba cepat dan berjaya mengawal kebakaran itu daripada merebak ke bangunan hadapan dan kawasan pencawang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Zakaria Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian jam 2.59 petang sebelum enam jentera dari Senawang, Seremban, Seremban 2 dan Rembau dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi pemadaman kebakaran itu membabitkan 30 pegawai dan anggota dan pasukan berjaya mengawal kebakaran sejam kemudian.

“Pasukan tidak berdepan sebarang masalah ketika proses pemadaman dilakukan kerana kilang ini tidak beroperasi. Malah, dua pekerja yang berada di dalam kilang sempat menyelamatkan diri.

“Kilang ini dianggarkan musnah 80 peratus. Bagaimanapun, punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Turut musnah dua kereta dan lori yang diletak bersebelahan kilang dengan kerugian keseluruhan mencecah RM500,000.

-Harian Metro

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");