Membawang Hari Ini

Neelofa nafi hubungan dingin dengan Vie Shantie

KUALA LUMPUR: Pelakon, pengacara dan usahawan, Neelofa menafikan hubungan baiknya dengan pengusaha fesyen muslimah, Vie Shantie Khan, dingin gara-gara penghasilan koleksi ‘mesra solat’.

Malah, pengacara Meletop itu menegaskan kedua-duanya masih baik seperti biasa dan pernah berjumpa dalam sebuah acara, baru-baru ini.

“Hubungan kami masih seperti biasa dan macam sedia kala. Baru-baru ini, kami berjumpa dalam sebuah jamuan makan dianjurkan jemaah haji yang turut serta dengan kami dulu.

“Kami memang tiada masalah. Malahan saat bermesej, saya sendiri gemar menyebut perkataan ‘I Miss You’ selain mengajaknya keluar berjumpa,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Kad Muslimah Bank Rakyat di sini, semalam.

Neelofa berkata demikian ketika diminta mengulas laporan BH Plus Isnin lalu kononnya perhubungan baiknya dengan bekas isteri Datuk Eizlan Yusoff itu terkesan gara-gara penghasilan koleksi ‘mesra solat’.

Kononnya, idea asal koleksi terbabit adalah daripada Vie yang juga pemilik jenama VHijrah, namun Neelofa yang terlebih dulu mengeluarkan pakaian muslimah berkenaan.

Neelofa juga tidak kelihatan apabila Vie melancarkan koleksi fesyen berkenaan di ibu kota, beberapa hari lalu. September lalu, kedua-duanya mengerjakan ibadat haji bersama-sama di Tanah Suci Makkah dan sering memuat naik gambar kenangan bersama ke laman sosial.

“Isu ini jadi hangat apabila orang luar yang tidak tahu-menahu menokok tambah cerita. Ketiadaan saya ketika majlis pelancaran koleksinya baru-baru ini pun kerana saya sedikit serabut dengan masalah (merujuk kepada kisahnya bersama Fattah Amin). Ketika itu saya memilih untuk berdiam diri dan tak mahu keluar ke acara yang mempunyai ramai orang.

“Saya ada menghubunginya memaklumkan hal itu. Saya memang tak berada dalam ‘mood’ yang baik ketika itu dan mengharapkan pengertiannya sebagai kawan,” katanya.

Menurut Neelofa lagi, tidak wujud istilah tiru-meniru mahupun ‘caras-mencaras’ dalam hal berkenaan.

“Memang orang luar yang memberikan tafsiran negatif. Di Makkah lagi, kami sudah tahu mengenai perancangan mengeluarkan koleksi ‘mesra solat’.

“Ikutkan, sebelum mengerjakan haji lagi, kami berdua sudah merancang untuk melakukan hal sama, tetapi secara berasingan. Namun berikutan kesibukan masing-masing, hal itu tertunda. Malah, masing-masing juga sudah ada contoh rekaan,” katanya.

Dalam laporan BH Plus dan muka depan HIP hari ini, Vie turut mengakui Neelofa ada memaklumkan kepadanya beliau mempunyai urusan lain yang perlu diutamakan pada hari majlis anjurannya itu.

“Dalam soal perniagaan ini, saya percaya rezeki itu ada dan terbuka luas. Saya juga mengalu-alukan rekaan muslimah seumpama ini daripada pereka fesyen atau pelabur lain. Rekaan ‘mesra solat’ ini saya percaya dapat memudahkan golongan wanita untuk beribadat,” kata Vie.

Mengenai desas-desus dirinya tidak lagi baik dengan Neelofa, Vie menegaskan, orang di luar sana yang tidak tahu hujung pangkal berlebih-lebih menambah cerita berbanding gambaran sebenar.

-BH Online

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");