Perak Hari Ini

Pengusaha Inap Desa Perlu Rebut Peluang

PASIR SALAK: Pengusaha inap desa (homestay) di negara ini khususnya di negeri Perak perlu mengambil peluang daripada kejatuhan nilai mata wang ringgit Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, ia berikutan situasi berkenaan akan mewujudkan lebih banyak peluang kedatangan pelancong ke negara ini khususnya ke Perak.

Ujarnya, berkemungkinan lebih ramai pelancong akan memilih Malaysia sebagai destinasi yang boleh dilawati tidak kira sama ada pelancong antarabangsa mahupun domestik.

img-20161204-wa0004-800x600

“Negara ini akan menjadi pilihan pelancong antarabangsa untuk harga yang lebih kompetatif.

“Manakala pelancong domestik yang mempunyai kekangan daripada segi kos perbelanjaan pula mungkin akan memilih Malaysia untuk bercuti bersama-sama keluarga mereka tak kira hujung tahun mahupun cuti persekolahan.

“Kita lihat ada trend di situ dan kita harapkan pengusaha-pengusaha (inap desa) mengambil kesempatan tersebut untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong yang datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Homestay FELCRA Berhad Seberang Perak di sini, hari ini.

20161204_113304-1-800x520

Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah FELCRA Berhad, Hassan Khamis dan Timbalan Penolong Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Perak, Hasnah Abd Kadir.

Pada majlis tersebut, Nolee turut menyampaikan sijil kepada 13 pengusaha inap desa yang terlibat dalam program Homestay FELCRA Seberang Perak.

Nolee berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan tambahan dalam produk inap desa seperti yang dilakukan melalui FELCRA Seberang Perak yang mana ia bertepatan dengan misi untuk menjayakan Tahun Melawat Perak pada 2017.

20161204_113836-1-800x517

“Kita lihat pengusaha homestay ini telah memilih beberapa faktor untuk menjadi daya tarikan atau keunikan mereka iaitu eko pelancongan berasaskan persekitaran semula jadi, pelancongan eko pendidikan dan juga pelancongan rekreasi desa yang melibatkan pelbagai aktiviti menarik.

“Selain itu, FELCRA juga telah merancang untuk mengadakan Pelan Pembangunan ‘One Stop Rural Development Center’ di Seberang Perak iaitu membangunkan industri baru dalam komuniti yang bermula pada tahun 2017.

“Empat sektor yang telah dikenalpasti dalam pelan pembangunan ini adalah membangunkan industri baru dalam komuniti agro pelancongan dan seminar, Hub pertanian, Hub pemprosesan produk serta Hub kajian dan pembangunan produk yang akan dijalankan,”katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga kini, FELCRA mempunyai sebanyak 11 inap desa yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan telah memiliki lesen untuk beroperasi.

“Di peringkat Homestay Malaysia, kita telah daftarkan sebanyak 335 kampung dengan jumlah 3,723 orang pengusaha.

“Kita lihat dari segi pendaftaran dan keluasan program homestay cukup penting dalam membangunkan elemen yang membawa limpahan ekonomi daripada industri pelancongan kepada masyarakat luar bandar yang mana ia bersesuaian dan bertepatan dengan konsep pelancongan yang diambil oleh kerajaan negeri,” katanya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");