Berita Hari Ini

Perhebat usaha tangani politik fitnah di media sosial

KUALA LUMPUR – Politik fitnah dan persepsi di media sosial oleh pembangkang perlu segera ditangani bagi memperbetulkan tanggapan serong terhadap Umno dan kerajaan.

Beberapa perwakilan Perhimpunan Agung Umno 2016 melahirkan kebimbangan jika perkara itu berterusan, ia akan memberi kesan buruk kepada kerajaan.

Ketua Pemuda Umno Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, politik kotor yang dimainkan pembangkang dikhuatiri akan mempengaruhi rakyat sekali gus menenggelamkan usaha pembangunan dan kebajikan dilakukan kerajaan Barisan Nasional (BN) terutamanya di Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kerja pembangkang buat fitnah agar rakyat bersama mereka sehinggakan rakyat sudah tidak pandai menilai yang mana satu kaca dan mana satu permata,” katanya.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Maran, Shahaniza Shamsuddin pula mencadangkan agensi kerajaan mewujudkan unit media sosial masing-masing sehingga ke peringkat daerah di setiap negeri bagi memaklumkan projek pembangunan yang dilaksanakan.

Shahaniza berkata, ini kerana sering berlaku, maklumat mengenai projek yang dilaksanakan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak sampai kepada rakyat.

“Kerajaan juga memerlukan satu pusat sehenti untuk penyaluran maklumat agensi kerajaan agar dapat memantau dan menghebahkan maklumat mengenai usaha kerajaan yang dilaksanakan kepada umum,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Kepong, Hazrene Begum Mohd Husin berkata, golongan muda dalam Umno perlu menjadikan media sosial sebagai instrumen untuk meyakinkan orang muda terhadap perjuangan parti.

“Kepantasan maklumat disampaikan kini melalui gajet elektronik menerusi aplikasi media sosial yang menjadi trend bukan saja golongan muda malah golongan yang berumur,” katanya.

Beliau memberikan contoh pengaruh media sosial dapat dilihat keberkesanannya sewaktu pemilihan presiden Amerika Syarikat yang menyaksikan peranan maklumat dihujung jari amat besar dan berpengaruh.

– Bernama

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");