Sukan Hari Ini

PKNS tenang hadapi undian sukar

PENGURUS pasukan PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid mengakui mereka berdepan tugas yang sukar dalam misi mengulangi pencapaian mara ke final Piala FA apabila diundi bertemu Melaka United pada pusingan kedua di Stadium Hang Jebat, 17 Februari depan.

Namun katanya, itu tidak bermakna mereka akan cepat mengaku kalah, sebaliknya yakin skuad bimbingan E Elavarasan akan memberikan aksi terbaik untuk menyekat kemaraan Melaka.

“Kami menghormati Melaka sebagai sebuah pasukan kuat, mereka memiliki barisan pemain yang cukup berkualiti dan sudah pasti pertemuan ini sukar.

“Namun sebagai pengurus saya ada visi dan keyakinan. Lagipun, kami meletakkan sasaran dalam Piala FA jadi kami akan berikan tentangan terbaik.

“Pada masa sama, kami juga mengharapkan tuah memihak kepada kami untuk menewaskan Melaka di laman mereka sendiri,” katanya.

Pusingan pertama Piala FA akan berlangsung pada 5 Februari dengan 13 pasukan Liga FAM akan berentap dengan tiga daripadanya termasuk KDMM, UKM dan MPKB-BRI U-BES sudah layak ke pusingan kedua selepas diberikan bye.

Sementara itu, pusingan kedua akan berlangsung pada 17 Februari dengan kesemua perlawanan secara kalah mati, sama dengan format musim lalu.

Untuk rekod, PKNS tewas 1-2 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala FA pada 14 Mei lalu.-sinar harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");